Pahang kumpul data pesakit kanser payudara - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Pahang kumpul data pesakit kanser payudara


Kuantan - Kerajaan Pahang kini mengambil inisiatif mengumpul data pesakit kanser payudara bagi menghulurkan bantuan sewajarnya dalam usaha meringankan beban golongan itu.

Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, ia juga sebagai tanda sokongan moral kepada kaum hawa di negeri itu yang terpaksa berdepan dengan penyakit dianggap pembunuh senyap.

Beliau berkata, inisiatif itu dilaksanakan dengan kerjasama Cancer Survivor Malaysia cawangan Pahang serta Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

"Melalui data yang diperoleh, kita dapat mengenal pasti pesakit kanser payudara yang memerlukan bantuan lanjut daripada kerajaan negeri, memudahkan urusan berkaitan dan memastikan kebajikan mereka tidak terabai," katanya selepas melawat pesakit kanser sempena Program Kesedaran Kanser Payudara yang menyaksikan sejumlah 30 pesakit sekitar daerah ini menerima bantuan makanan.

Mengulas lanjut, Shahaniza berkata, pihaknya akan mempromosi kesihatan keluarga sempena Bulan Keluarga Kebangsaan pada bulan ini.

"Menerusi kempen itu, kita akan menggalakkan setiap keluarga supaya menjaga kesihatan sama ada fizikal mahupun mental lebih-lebih lagi pada waktu pandemik koronavirus (Covid-19) yang memerlukan setiap daripada kita berada dalam keadaan sihat," katanya.


Kanser payudara boleh dibahagikan kepada 4 tahap iaitu:

A) Tahap pertama
Pada peringkat ini, ketumbuhan barah adalah dalam ukuran sebesar 2 cm sahaja ataupun kurang daripadanya dan ia hanya menyerang tisu yang berhampiran pada kawasan payudara sahaja.

B) Tahap Kedua
Pada peringkat ini pula, ukuran ketumbuhan barah payudara mula membesar berukuran antara 2 cm hinga 5 cm dan turut menjadikan nodus limfa sebagai sasaran serangan selain daripada bahagian payudara.

C) Tahap Ketiga
Saiz ketulan barah payudara bersaiz lebih daripada 5 cm, tetapi kanser belum merebak lebih jauh. Walaubagaimanapun, pada peringkat ini, barah payudara sudah melibatkan nodus limfa ketiak, kulit ataupun otot yang terdapat di bawahnya (otot bahagian dada).

D) Tahap Ke-empat
Pada peringkat ini, saiz barah semakin membesar dan serangan barah ini menjalar ke bahagian serta organ-organ yang terletak agak jauh daripada bahagian payudara seperti nodus limfa di leher, paru-paru, hati atau tulang.

Tahap pertama dan kedua adalah peringkat yang masih awal dan boleh sembuh jika dapat dikesan lebih awal. Manakala tahap ke-empat adalah keadaan dimana ianya tidak dapat disembuhkan lagi. Jadi untuk mengelakkan perkara ini, adalah disarankan untuk melakukan pemeriksaan payudara secara berkala.

Tiada ulasan: