Sebar berita palsu, YB Fuziah mohon maaf - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Sebar berita palsu, YB Fuziah mohon maaf



Kuantan - Pentadbir (Admin) Facebook rasmi bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Fuziah Salleh memohon maaf berikutan berkongsi berita kononnya berlaku situasi luar kawalan di Kompleks Kastam Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru.



SKMM / polis ambil keterangan

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam percakapan seorang bekas timbalan menteri berkaitan penyebaran berita palsu melalui sebuah video di laman Facebooknya, kononnya berlaku situasi luar kawalan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bahru.

SKMM, dalam kenyataan hari ini, berkata rakaman berkenaan diambil dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang pada pukul 9 malam tadi.

Satu unit telefon dan kad SIM turut dirampas daripada Ahli Parlimen tersebut untuk membantu proses siasatan, kata SKMM.

“Beliau disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian, yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam, yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” katanya.

SKMM menegaskan tindakan memulakan atau menyebarkan berita palsu adalah satu kesalahan jenayah.

Suruhanjaya itu berkata pihaknya dan PDRM memantau mana-mana pihak termasuk orang kenamaan, pengamal media dan media dalam talian yang menyebarkan berita palsu ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

SKMM berkata sekiranya ragu-ragu mengenai kesahihan sesuatu berita, orang ramai boleh melayari portal Sebenarnya.my atau pautan telegram https://t.me/sebenarnyamy.

Menurutnya, maklumat mengenai penularan berita palsu berkaitan COVID-19 turut boleh disalurkan melalui pautan ‘Salur kepada Kami’ iaitu di portal dan aplikasi Sebenarnya.my.

Polis buka kertas siasatan

Polis akan membuka kertas siasatan terhadap bekas Timbalan Menteri berikutan penyiaran video dengan keterangan palsu di akaun Facebooknya malam tadi, sehingga menyebabkan kegusaran awam di negeri ini.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Ahli Parlimen itu akan dipanggil memberi keterangan sekiranya siasatan membuktikan beliau memuat naik video palsu itu sehingga berlaku panik dalam kalangan masyarakat dan agensi penguat kuasa.

Katanya, Pengarah Imigresen Johor Baharuddin Tahir sudah membuat laporan di Balai Polis Larkin, Johor Bahru Selatan, berkaitan perkara terbabit 11.30 pagi tadi.

“Polis sedang menyiasat kes ini mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan (menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian).

“Siasatan kes ini juga diambil alih oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman. Tindakan memuat naik video dengan keterangan palsu itu amat tidak bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, hari ini.

Beliau berkata, ia menyebabkan video itu tular sehingga bukan saja menimbulkan kegusaran awam malah menyebabkan agensi penguat kuasa kelam-kabut.

“Undang-undang negara adalah untuk semua tidak mengira orang awam atau Ahli Parlimen, jika membuat perkara yang menyalahi undang-undang, maka bersedialah untuk disiasat,” katanya.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, video berkenaan sebenarnya adalah sesi latihan kebakaran di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini, Disember tahun lalu.

Dalam video yang dimuat naik di akaun Facebook Ahli Parlimen berkenaan kira-kira 11.30 malam tadi, ia menunjukkan kononnya berlaku huru-hara di CIQ, BSI.

Antara keterangan bersama video itu - ‘Sedang berlaku di CIQ JB. Situasi di luar kawalan. Pekerja Malaysia di Singapore cuba balik secara beramai-ramai.’

Pemeriksaan di akaun Facebook mendapati video bersama keterangan palsu berkenaan sudah dipadamkan 15 jam lalu, malah pentadbir akaun itu memuat naik permohonan maaf yang menyatakan ia video lama.

*Semoga YB Fuziah lebih berhati-hati selepas ini sebelum berkongsi apa-apa berita.


blog counter views

Tiada ulasan: