MPK bantu gelandangan di sekitar bandar Kuantan

Kuantan - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) kini menempatkan seramai 28 gelandangan berumur antara 20 hingga 70 tahun yang ditahan dalam Operasi Selamatkan Gelandangan dari COVID-19 di bandar ini, kelmarin.
Operasi bersama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), Jabatan Kesihatan Daerah (JKD) Kuantan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilakukan bagi memastikan gelandangan tidak terdedah dengan pendemik itu.
Yang Dipertuanya, Datuk Hamdan Hussin, berkata semua gelandangan terbabit kini ditempatkan di pusat gelandangan sementara di Institut Latihan KEMAS Kuantan, Alor Akar, di sini.
Mereka disediakan tempat tinggal selesa, makanan dan pemeriksaan kesihatan.
Katanya, operasi gelandangan akan dilakukan selepas ini dalam memastikan nasib golongan berkenaan terbela, seterusnya mereka tidak terdedah dengan wabak COVID-19, terutama selepas daerah ini dikategorikan sebagai zon merah.
Hamdan berkata, ini kali pertama gelandangan dapat dikumpul di bawah satu bumbung dalam usaha memastikan bandar ini bebas daripada golongan terbabit yang tidak mempunyai tempat tinggal disebabkan pelbagai faktor.
“Kita bercadang menyediakan pusat penempatan gelandangan, khusus untuk menempatkan golongan terbabit dengan menyediakan pelbagai kemudahan selesa dan lengkap yang pertama di daerah ini.
“Usaha berkenaan akan dibantu sepenuhnya oleh beberapa agensi kerajaan lain, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas melawat dan menerima bantuan barangan daripada dua syarikat swasta untuk kegunaan pusat gelandangan sementara berkenaan, di sini.
Hamdan berkata, bantuan diberikan NGO seperti Dapur Infaq Ummah yang menyediakan makanan setiap hari, dibantu sukarelawan Jabatan Amal Malaysia (JAM) Pahang melancarkan lagi setiap aktiviti di pusat berkenaan.
Sementara itu, Pengarah JKM Pahang Zulkhairi Zainal Abidin, berkata pihaknya kini turut sama membantu melancarkan lagi pengurusan pusat gelandangan sementara yang kali pertama diwujudkan bagi membantu golongan berkenaan di daerah ini.
Katanya, semua gelandangan perlu mengikuti jadual serta aktiviti yang disusun pihak urusetia seperti sesi motivasi, solat, muhasabah diri dan saringan kesihatan.
Mereka tidak dibenarkan keluar daripada kawasan pusat yang dikawal sepenuh anggota keselamatan.
“Selain warga emas yang ditinggalkan keluarga, gelandangan yang ditahan pada operasi kelmarin terdiri
daripada individu yang baharu bebas daripada Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) dan penjara di negeri ini.
“Mereka tidak mempunyai tempat tinggal dan terpaksa tidur di kaki lima bangunan di bandar ini, operasi menahan mereka bukan bertujuan menghukum tetapi lebih kepada menolong seterusnya diharap dapat membuka jalan untuk golongan terbabit membina hidup baru,” katanya.
Tiada ulasan: