Tiga sahabat sesat dalam Hutan Gebeng ditemukan penyelamat - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Tiga sahabat sesat dalam Hutan Gebeng ditemukan penyelamat



Kuantan - Tiga sahabat yang tersesat ketika memancing di kawasan hutan di Gebeng, Kuantan, ditemukan selamat malam tadi.

Ketiga-tiga mereka berusia antara 24 hingga 25 tahun ditemui pasukan Bomba kira-kira empat kilometer dari jalan utama berhampiran bulatan Gebeng, pada 8.07 malam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Rosdan Zakaria berkata, kesemua mangsa dibawa keluar sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Mereka ditemui dalam keadaan keletihan dan difahamkan ketiga-tiganya dalam perjalanan pulang, namun gagal mencari jalan keluar.

“Akibatnya, mereka terkandas di kawasan hutan berkenaan sebelum anggota bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rosdan berkata, tiga lelaki itu dipercayai masuk ke kawasan hutan berkenaan pagi semalam untuk memancing dan sepatutnya keluar lewat petang.

“Kehilangan pemancing itu disedari rakan selepas mereka gagal keluar hingga malam sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa untuk bantuan mencari dan menyelamat,” katanya.

Dalam pada itu, Rosdan memaklumkan pihaknya menerima laporan kejadian pada 7 petang dan tujuh anggota diarah ke lokasi bagi tujuan menyelamat.

Katanya, ketika proses pencarian, mangsa masih boleh dihubungi melalui telefon dan mereka turut memberikan lokasi kedudukan menerusi aplikasi Google Map.

“Bagaimanapun, pencarian berdasarkan lokasi yang diberikan tersasar ke arah lain.

“Namun, kedudukan mangsa berjaya dikesan selepas anggota ternampak cahaya lampu sebelum menuju ke arah itu dan kesemua mangsa berjaya ditemui,” katanya.

blog counter views

Tiada ulasan: