Stadium Darul Makmur tiada CF selama ini, naiktaraf telan belanja RM160k

Kuantan - Pengurusan Stadium Darul Makmur belum memperoleh sijil pematuhan kod (CCC) atau dikenali sebagai sijil layak menduduki (CF) untuk gelanggang rasmi skuad Tok Gajah.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Zahar Abdullah berkata, pihaknya sudah bertemu dengan pengurusan stadium dan menawarkan bantuan untuk mereka memperoleh sijil itu.
“Pada perbincangan yang berlangsung akhir tahun lalu, pengurusan stadium bersetuju untuk meningkatkan sistem kebakaran yang perlu ada, selaras dengan permintaan JBPM bagi memperoleh sijil itu.
“Kita sedia membantu dari segi teknikal apa sahaja keperluan yang perlu dipatuhi mereka, dalam mendapatkan CCC kerana ia membabitkan aspek keselamatan,” katanya.
Mohd Zahar berkata, walaupun risiko kebakaran di stadium dilihat tidak begitu tinggi ekoran pembinaan yang terbuka dan mempunyai banyak laluan keluar, namun aspek keselamatan kebakaran adalah aspek yang wajib dipatuhi dalam CCC.
Media sebelum ini melaporkan Stadium Darul Makmur yang dibina pada 1973 satu daripada 13 stadium utama di Malaysia, yang tidak mempunyai sijil itu, sekali gus berisiko mengundang kejadian tidak diingini.
Pada September tahun lalu, kerajaan Pahang mengumumkan peruntukan RM100,000 kepada perbadanan pengurusan stadium bagi kerja penambahbaikan ciri keselamatan, sebelum memohon sijil CCC.
Dalam perkembangan lain, Mohd Zahar berkata, JBPM Pahang akan menggembleng lebih banyak kekuatan aset dan anggota, untuk memadam kebakaran terbuka yang sering berlaku pada musim kemarau setiap tahun.
“Kita tidak mahu kebakaran terbuka itu berlanjutan terlalu lama untuk dipadamkan sepenuhnya, menyebabkan operasi bukan hanya di daerah terbabit, namun dibantu jentera daerah berhampiran,” katanya.
Mohd Zahar berkata, berdasarkan statistik, kebakaran belukar atau lalang meningkat pada tahun lalu, iaitu sebanyak 1,291 kes berbanding 764 kes pada 2018.
Peningkatan suhu panas akibat fenomena ekuinoks pada Mac hingga September tahun lalu, didapati menjadi punca peningkatan kes kebakaran terbuka itu.
Daripada jumlah itu, RM100,000 diperuntukkan untuk menaik taraf lampu limpah dan aksesori tambahan, kemudahan kerusi pemain (RM50,000) dan penyelenggaraan rumput (RM10,000).
Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur, Mohamad Nasir Jusoh berkata, sebelum bermulanya saingan Liga M, khususnya Liga Super, perbadanan itu mempertingkatkan kemudahan di stadium itu.
"Peruntukan RM100,000 itu membabitkan kos pemasangan dan penyelenggaraan lampu limpah yang memenuhi piawaian yang ditetapkan dari segi tahap pencerahan.
"Selain itu, penambahbaikan kemudahan kerusi pemain itu selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia terutama keselesaan," katanya.
Mengulas kos penyelenggaraan padang pula, beliau berkata, seperti sedia maklum bahawa padang Stadium Darul Makmur antara padang rumput yang terbaik di negara ini.
Katanya, kos itu membabitkan kerja membaik pulih rumput, pengisian tanah baja dan siraman yang konsisten bagi tujuan kesuburan rumput.
"Keadaan padang yang dalam keadaan baik juga atas kehendak Persatuan Bolasepak Malaysia.
"Oleh itu, penambahbaikan yang dilaksanakan itu memberi keselesaan khususnya kepada pemain sebaik saingan Liga M bermula nanti," katanya.
Tiada ulasan: