Coronavirus: UMP saring penuntut China

Kuantan - Universiti Malaysia Pahang (UMP) melaksanakan proses tapisan kesihatan terhadap penuntut dari China yang pulang cuti semester sebagai langkah pencegahan jangkitan koronavirus baharu (2019-nCoV).
Pengarah Pusat Kesihatan UMP Dr Khairul Salleh Abdul Basit berkata, tapisan kesihatan itu dilakukan di pusat kesihatan universiti dan penuntut terbabit dihantar ke rumah pengawasan selama 14 hari sebelum dibenarkan meneruskan rutin harian seperti biasa.
“UMP mengambil melakukan tapisan kesihatan terhadap mereka sebagai langkah berjaga-jaga walaupun mereka ini difahamkan sudah melalui proses sama di lapangan terbang.
“Kakitangan pusat kesihatan kami akan melawat rumah pengawasan setiap hari untuk mengambil suhu badan dan melihat jika ada yang menunjukkan tanda seperti sukar bernafas, batuk dan sakit tekak untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Dr Khairul Salleh berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Sumbangan Insentif Pendidikan UMP dan Bantuan Awal Pendidikan Yayasan Bank Rakyat di UMP kampus Gambang di Kuantan, hari ini.
Setakat ini, UMP mempunyai 66 penuntut dari China, namun tiada yang berasal dari Hubei mahupun Wuhan dan daripada jumlah itu, lima penuntut yang pulang daripada cuti semester sudah menjalani tapisan kesihatan dan tidak menunjukkan gejala koronavirus.
Dr Khairul Salleh berkata, proses tapisan kesihatan juga perlu dilalui semua pelajar antarabangsa lain tanpa perlu ditempatkan di rumah pengawasan, manakala penuntut tempatan diminta memaklumkan pihak pengurusan jika ada melawat negara berisiko.
“Jika ada yang menunjukkan simptom atau tanda-tanda yang membimbangkan, UMP akan menghubungi Jabatan Kesihatan Pahang untuk membawa mereka menjalani pemeriksaan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) yang dikhususkan bagi kes koronavirus di Pahang,” katanya.
Sementara itu, Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP Dr Mansor Sulaiman berkata, UMP menerima 64 pelajar antarabangsa dari 11 negara pada sesi pengambilan Februari yang bermula hari ini.
“Pendaftaran penuntut baharu kali ini dengan jumlah keseluruhan 460 pelajar menggunakan kaedah pendaftaran digital di kampus Gambang dan Pekan, bagi membolehkan proses itu berlangsung dengan lebih cepat,” katanya.
Pada majlis itu, Mansor turut menyampaikan sumbangan kepada empat daripada 16 penuntut daripada keluarga kurang bernasib baik dengan mereka menerima bantuan bernilai RM1,000 setiap seorang.
Tiada ulasan: