Projek Kuantan Rahmah 2020 sasar kitar semula minyak masak untuk bantu golongan susah - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Projek Kuantan Rahmah 2020 sasar kitar semula minyak masak untuk bantu golongan susah


Kuantan - Parlimen Kuantan akan melaksanakan Projek Kuantan Rahmah 2020-3R tahun ini, dengan memberi tumpuan mengitar semula minyak masak terpakai demi kelestarian alam sekitar.

Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata, program dengan peruntukan RM152,100 itu bermula di 39 buah sekolah rendah dan menengah sekitar Parlimen Kuantan, sebelum diperluaskan ke lokasi lain.

"Kumpulan sasar bagi projek ini terbahagi kepada dua kumpulan, iaitu komersial terdiri daripada hotel, kantin dan restoran, manakala bukan komersial melibatkan pelajar sekolah, orang miskin, masjid dan rukun tetangga.

"Projek 3R ini bermula dengan pengumpulan minyak masak terpakai di sekolah terlibat, yang mana bahan itu akan dipungut dan dibeli vendor pada harga RM1.30 per liter.

"Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan pula memberikan insentif RM2.60 bagi setiap liter, terhad kepada 1,000 liter pertama untuk setiap sekolah, berkuatkuasa sepanjang tiga bulan bermula 1 Feb ini," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Fuziah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata projek itu merupakan strategi serampang dua mata, dalam menjaga kelestarian alam sekitar dan menjaga kebajikan masyarakat, menerusi pemberian insentif tersebut.

Pada perkembangan lain, Fuziah berkata laporan prestasi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan sejak Jun 2018 hingga Disember tahun lalu adalah memberangsangkan, dan mencapai sasaran membantu rakyat.

"Bagi tahun 2019, kita menerima peruntukan khas Ahli Parlimen Kuantan sebanyak RM3.5 juta yang digunakan kepada tiga aspek iaitu kebajikan, sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan projek mesra rakyat.

"Sebanyak RM2 juta daripada peruntukan itu disalurkan kepada projek mesra rakyat melibatkan 69 projek melibatkan pelbagai kategori projek berimpak besar kepada seluruh warga Kuantan," katanya.

Fuziah juga menasihatkan orang ramai agar menggunakan saluran yang betul untuk membuat aduan masalah setempat bagi memudahkan pihaknya mengambil tindakan segera kerana 95 peratus masalah setempat hanya diketahui daripada hebahan penduduk.

Katanya, pihak yang terlibat boleh membuat aduan di pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan atau di halaman Facebook rasmi pusat khidmat tersebut.

blog counter views

Tiada ulasan: