Cukai tanah lebih 4 hektar di Kuantan didakwa naik sehingga 200 kali ganda - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Cukai tanah lebih 4 hektar di Kuantan didakwa naik sehingga 200 kali ganda


Kuantan - Kerajaan negeri Pahang sedia menerima dan mempertimbangkan rayuan daripada pemain industri yang merasakan kadar baharu cukai tanah yang berkuatkuasa tahun ini terlalu tinggi, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Katanya, pemilik ladang, tanah industri dan perniagaan boleh mengemukakan rayuan kepada Pejabat Tanah dan Galian Pahang beserta dokumen sokongan, dan rayuan itu akan dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat.

"Kadar baharu cukai ini telah dilakukan secara terperinci dan kajian sewajarnya, bagaimanapun ia tidak memberi kesan kepada tanah pertanian kurang daripada empat hektar supaya tidak membebankan pekebun kecil, orang kampung, peneroka Felda dan golongan B40.

"Kenaikan kadar ini lebih kepada kawasan industri, perniagaan dan pertanian melebihi empat hektar dengan kadar berbeza mengikut daerah dan lokasi serta jenis perniagaan atau perladangan," katanya.

Wan Rosdy menjelaskan kadar baharu itu masih antara paling rendah, jika dibandingkan dengan negeri lain, dengan secara asasnya dikira lebih rendah daripada satu peratus nilai tanah semasa.

Kali terakhir Pahang membuat semakan semasa kadar cukai tanah ialah pada 2007 yang terpakai pada tanah yang diluluskan mulai tahun itu, manakala tanah yang diluluskan sebelumnya mengguna pakai kadar tahun 1994.

"Kadar baharu ini juga akan menyelaraskan dua kiraan cukai berbeza iaitu tahun 1994 dan 2007. Bagi tanah kediaman, tiada kadar kenaikan dikenakan, namun tanah yang masih menggunakan kadar 1994 akan menggunakan kadar 2007 mulai tahun ini.

"Penggunaan kadar baharu tahun 2007 bagaimanapun tidaklah terlalu tinggi, iaitu sekitar RM7 ke RM8. Kadar cukai kediaman pada 1997 sebagai contoh ialah 33 sen satu meter persegi manakala kadar 2007 ialah 50 sen bagi keluasan sama," katanya.

Semakan kadar cukai tanah, menurut Wan Rosdy boleh dilakukan pihak berkuasa negeri dari semasa ke semasa mengikut Seksyen 101 Kanun Tanah Negara, selain Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tanah Negara yang menetapkan semakan hendaklah dilakukan setiap 10 tahun bagi diselaraskan dengan nilaian semasa.

Pada perkembangan lain, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri akan melaksanakan tujuh program dan insentif bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat yang melibatkan peruntukan keseluruhan melebihi RM40 juta pada tahun ini.

Antaranya ialah bayaran insentif khas perkahwinan kali pertama kepada pengantin lelaki rakyat Pahang sebanyak RM200 seorang, bantuan khas secara sekali beri kepada ibu tunggal dan warga emas miskin (RM300 seorang), bayaran khas sekali beri kepada imam masjid kariah (RM1,000 seorang) dan kad kesihatan khas warga emas yang dianggarkan berjumlah RM10 juta.

Semakan kadar cukai tanah terbaharu boleh diakses di Pewartaan Kadar Cukai Tanah Negeri Pahang

Tiada ulasan: