RM2.33 juta untuk bantu 14,000 pelajar miskin - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

RM2.33 juta untuk bantu 14,000 pelajar miskin


Kuantan - Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan memperuntuk RM2.33 juta kutipan zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bagi membantu 14,000 golongan miskin dan asnaf seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Fuziah Salleh, berkata sebahagian daripada peruntukan sejumlah RM2.33 juta itu turut diagihkan kepada penerima bukan Islam, termasuk Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

“Agihan itu diberikan kepada penerima bukan Islam bertepatan dengan konsep Rahmatan Lil ‘Alamin dan tidak bercanggah dengan fatwa dikeluarkan Mufti Wiilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Seramai 43 penerima bukan Islam di Pahang daripada 506 murid menerima kelengkapan barang persekolahan.

“Tapi sebab ia wang zakat, sebahagian besar penerima ialah untuk orang Islam. Namun, tidak bermakna kita tidak boleh bantu bukan Islam. Yang penting penerima itu terdiri daripada golongan tidak berkemampuan dan hatinya lembut dan tidak menentang Islam,” katanya yang juga ahli Parlimen Kuantan.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Program Jom Ke Sekolah 2020 Parlimen Kuantan, hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Taqwa, Zabidi Nasan.

Fuziah berkata, setiap pelajar menerima kelengkapan sekolah dengan jumlah dana kira-kira RM85,000.

Mengulas mengenai fatwa berhubung wang zakat boleh dimanfaatkan kepada bukan Islam, Fuziah berkata, Mufti Wiilayah Persekutuan sudah mengeluarkan fatwa bahawa wang zakat boleh dimanfaat kepada bukan Islam, terutama yang hatinya lembut kepada Islam dan tidak menentang agama itu.

Bagaimanapun, pemberian dan agihan terbabit tidaklah sampai orang Islam berasa kecil hati.

“Jadi, sebab itulah menerusi program ini sebahagian kecil diberikan kepada bukan Islam. Malah, di Wilayah Persekutuan ketika ini juga terdapat penerima manfaat (daripada wang zakat) bukan beragama Islam. Contohnya di pusat dialisis kendalian MAIWP,” katanya.

Beliau berkata, pemberian wang zakat kepada bukan Islam bergantung kepada fatwa dikeluarkan mufti di negeri masing-masing.

Tiada ulasan: