Restoran Dapur Infaq Ummah bantu golongan susah di Kuantan untuk makan dengan harga murah

Roti tempayan dihidangkan dengan kari kambing antara menu utama Restoran Dapur Infaq Ummah, selain menyediakan hidangan seperti nasi lemak, mi goreng, pulut dan pelbagai kuih.
Pemiliknya, Badrul Jamili Kamaruddin, 45, berkata tujuan utama dia membuka restoran ini ialah untuk memastikan golongan berpendapatan rendah termasuk asnaf dan penuntut menikmati sarapan pagi sebelum memulakan rutin harian walaupun tanpa wang.
Katanya, pelanggan boleh makan apa sahaja makanan yang terdapat di premisnya dan membayar seikhlas hati dengan memasukkan wang ke dalam tabung yang disediakan di kaunter bayaran.
Beliau berkata, sejak beroperasi tiga bulan lalu terletak di Kompleks Dagangan Indera Mahkota, di sini sambutan yang diterima begitu menggalakkan, setiap hari dia menyediakan sebanyak 150 roti tempayan.
.
“Walaupun berkonsepkan bayar seikhlas hati, namun purata setiap hari saya mampu meraih pendapatan RM750 hingga RM900 dan tidak pernah menanggung kerugian.
.
“Restoran ini memulakan perniagaan jam lapan pagi sehingga 11.30 pagi, atau sehingga semua makanan habis.
.
“Permintaan daripada pelanggan terhadap roti tempayan dan kari kambing termasuk ayam begitu menggalakkan,” katanya yang sentiasa terbabit dengan program membantu golongan gelandangan di daerah ini.
Beliau berkata, bulan pertama beroperasi dia hampir tidak percaya melihat ramai pelanggan yang tidak membayar selepas makan dan terdapat seorang penuntut universiti hanya memasukkan wang 30 sen dalam tabung.
Badrul Jamili berkata, dia tidak berniat mempertikaikan perbuatan pelanggan yang tidak membayar, sebaliknya sedih kerana mereka pasti tidak memiliki wang sedangkan pada waktu sama berada dalam keadaan lapar.
Tiada ulasan: