Pusat Khidmat Aduan Wanita untuk wanita adu masalah di Kuantan - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Pusat Khidmat Aduan Wanita untuk wanita adu masalah di Kuantan


Kuantan - Wanita di Pahang kini boleh mengadu pelbagai masalah menerusi Pusat Khidmat Aduan Wanita di bawah Unit Hal Ehwal Wanita Negeri Pahang yang akan beroperasi di Pusat Transformasi Bandar bermula 1 Disember ini.

Exco Kebudayaan, Perpaduan, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin berkata, unit tersebut yang mempunyai enam kakitangan di peringkat awal turut mewujudkan Majlis Pembangunan Wanita Negeri Pahang dengan keahlian 24 orang dari pelbagai latar belakang.

Menurutnya, keahlian tersebut berlatar belakang wanita profesional dalam bidang pendidikan, sukan, keusahawanan, kesukarelawan dan ahli parti pembangkang mesra kerajaan.

"Wanita boleh datang kemukakan apa sahaja masalah berkaitan wanita di negeri ini contohnya ibu tunggal. Jika memerlukan kita hubungkan dengan jabatan berkaitan, kita akan bertindak sebagai pengantara kepada permasalahan berkenaan.

"Majlis Pembangunan Wanita di bawah Setiausaha Negeri Pahang ini akan memberi manfaat kepada wanita secara keseluruhannya.

Beliau berkata demikian selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Shahaniza berkata, kerajaan negeri pada 2018 melalui portfolio wanita telah mengeluarkan peruntukan sebanyak RM232,150 kepada program anjuran pelbagai NGO wanita.

"Dari segi portfolio kebajikan pula Jabatan Kebajikan Masyarakat memperuntukkan RM13.71 juta untuk penerima bantuan am pada tahun 2020.

"Seramai 3,808 orang akan terus mendapat manfaat daripada peruntukan tersebut dengan kadar bantuan RM300 sebulan.

"Bagi tempoh Januari sehingga Oktober 2019, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah salurkan peruntukan sebanyak RM93.9 juta kepada 20,109 penerima bantuan seluruh Pahang.

Daripada jumlah itu RM13.48 juta adalah peruntukan kerajaan negeri yang disalurkan kepada 2,854 orang seluruh Pahang," katanya.

Melalui pindaan kriteria penerima bantuan am pula katanya, kerajaan negeri telah memperluaskan kriteria penerima bantuan iaitu dengan meminda had umur dari 18 hingga 59 tahun kepada 18 tahun ke atas sahaja manakala kriteria pendapatan akan mengikut paras pendapatan kemiskinan semasa.

Tiada ulasan: