Dana RM31 juta Yayasan Akalbudi satu sen tidak diguna bantu orang miskin

Kuala Lumpur - Perbicaraan kes membabitkan bekas timbalan perdana menteri Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akal Budi bermula hari ini, dengan pihak pendakwaan berusaha membuktikan wujud kesalahan pecah amanah, rasuah dan penggubahan wang haram.
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran memberitahu hakim Collin Lawrence Sequerah bahawa pasukannya akan membuktikan wujud kesalahan pecah amanah melibatkan dana RM31 juta milik Yayasan Akal Budi yang seharusnya digunakan untuk membantu golongan miskin telah disalahgunakan.
“Jejakan wang tunai yang akan dibentang di mahkamah akan mendedahkan tidak ada satu sen daripada RM31 juta itu digunakan untuk manfaat golongan miskin.
“Sebaliknya jejakan wang itu akan menunjukkan sejumlah besar dana digunakan, antaranya untuk membayar kad kredit milik peribadi, bil dan untuk tujuan membeli insurans dan cukai jalan kenderaan milik peribadi.
“Pendakwaan akan membuktikan bahawa wang yang diamanahkan kepada tertuduh adalah atas kapasitinya sebagai pemegang amanah yayasan berkenaan,” katanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.
Raja Rozela berkata, sekurang-kurang 20 saksi akan dipanggil untuk membuktikan wujud kesalahan pecah amanah, disokong oleh bukti-bukti lain dalam bentuk dokumen.
Bagi pertuduhan rasuah yang berlaku pada 2016 dan 2018 semasa Ahmad Zahid menjawat tugas sebagai seorang menteri di Kementerian Dalam Negeri (KDN), beliau dituduh menerima RM17 juta sebagai ganjaran menganugerahkan 3 kontrak kepada beberapa syarikat.
Beliau turut dituduh menerima sejumlah wang RM4.25 juta daripada seseorang sewaktu menjawat tugas menteri sebagai dorongan untuknya menganugerahkan projek MyEG yang merupakan bidang kuasa menteri dalam negeri.
Dalam kes pertuduhan rasuah terhadap Zahid, pendakwaan akan memanggil 15 orang saksi di bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Berkait pertuduhan penggubahan wang haram pula, Raja Rozela memberitahu pasukannya akan membuktikan bahawa tertuduh menerima wang yang dianggarkan sebanyak RM65 juta dalam bentuk cek daripada individu yang tertuduh kenali dan tidak kenali.
“Dua buah unit banglo bernilai RM5.9 juta turut dibeli menggunakan wang yang diterima. Setiap urusan adalah di bawah pengetahuan tertuduh. Testimoni saksi dan bukti dokumen akan ditambah untuk membuktikan bahawa tertuduh tahu wang jutaan ringgit yang diterimanya daripada aktiviti haram,” katanya.
Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018, serta 20 Februari tahun ini, Zahid mengaku tidak bersalah di Mahkamah Seysen di sini terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akal Budi.
Zahid juga berdepan 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), menjadikan tuduhan yang dihadapinya sebanyak 87 pertuduhan.
Beliau turut berdepan dengan 33 lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM42.76 juta daripada sebuah syarikat berhubung sistem sama di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Tiada ulasan: