Hanya dua kedai mamak di Pahang miliki sijil halal - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Hanya dua kedai mamak di Pahang miliki sijil halal


Kuantan - Hanya dua kedai mamak yang beroperasi di negeri ini mempunyai sijil halal Malaysia iaitu Restoren Taj Makmur Jalan Tun Ismail dan Nasi Vanggey Jalan Teluk Sisek di sini.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip), Datuk Mohd. Ghazali Abdul Aziz berkata, pemilikan sijil halal penting bagi memastikan kualiti penyediaan makanan termasuk kandungan dalam makanan digunakan itu adalah bersih, selamat dan semestinya mengikut syarak.

Kata beliau, pihaknya tidak menghalang jika ada pelanggan yang mahu ke restoran terbabit berikutan kedai mamak sememangnya diminati ramai dan setiasa dikunjungi pelanggan dari awal pagi hingga lewat malam.

"Jaip menyarankan semua restoran makanan termasuk restoran Melayu yang beroperasi di negeri ini mendapatkan sijil halal bagi mengelakkan keraguan pengunjung.

"Lebih-lebih lagi isu semasa sekarang ini yang heboh memperkatakan mengenai status halal sesuatu produk yang dimiliki oleh orang Islam dan bukan Islam," katanya.

Beliau berkata demikian dalan sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Sijil Halal kepada IASC Holdings Sdn.Bhd di Maahad Tahfiz Negeri Pahang di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ghazali, tiada syarat ketat yang perlu dilakukan oleh pemilik kedai makan berkenaan untuk mendapatkan sijil halal kerana aspek utama yang perlu ada hanya kebersihan, sumber bahan mentah halal dan pekerja yang sihat serta bersih.

"Bagaimanapun, masih ramai pemilik premis tidak berbuat demikian kerana mungkin dirasakan tidak perlu memandangkan pelanggan ramai datang berkunjung," ujarnya..

Tambah beliau, pemantauan bersama agensi kerajaan yang lain akan dilakukan dari semasa ke semasa untuk memastikan premis makanan di negeri ini mempunyai sijil halal selain meningkatkan kesedaran kepada pengusaha makanan untuk mendapatkan sijil halal Malaysia yang sah.

"Walaupun pemilik kedai mamak ini tidak memiliki sijil halal, tetapi kita sudah tahu bahawa mereka ini pasti orang Islam, dan penyediaan makanan juga insya-Allah berlandaskan syarak.

"Tetapi untuk menguatkan lagi kualiti jaminan penyediaan makanan dan kebersihan makanan, kita harap semua restoran makanan buat permohonan sijil halal," katanya.

Tiada ulasan: