Gangguan bekalan air di Kuantan Khamis, Jumaat ini

Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) menerusi kenyataan media di sini hari ini, memaklumkan kerja penyelenggaran sistem elektrik itu yang dijadualkan bermula 8 pagi Khamis dijangka tamat pada 9 malam hari yang sama.
"Kerja ini akan mengakibatkan gangguan bekalan kepada 60,000 akaun pengguna dari kawasan Beserah sehingga ke sempadan Chendor, Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP), Pelabuhan Kuantan, Cherating dan seluruh kawasan perindustrian Gebeng.
"Gangguan juga dijangka berlaku di seluruh kawasan Bukit Goh, Bukit Kuantan, kawasan industri Semambu, Sri Kuantan, Alor Akar, Kubang Buaya, Tanjung Api, Bukit Sekilau, Galing, Setali, Air Putih, Teruntum, Jalan Mahkota, Jalan Gambut dan Bukit Setongkol.
"Turut terjejas ialah kawasan sekitar Kamunting, Hospital Tengku Ampuan Afzan, Wisma Persekutuan, Pasar Besar, Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan dan sekitar bandar Kuantan," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kerja pengalihan paip oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di laluan masuk baru Pahang Skills Development Centre (PSDC) di Semambu di sini, pula dijangka akan menyebabkan gangguan bekalan air bermula 8 pagi Khamis sehingga 12 tengah hari Jumaat.
PAIP berkata sebanyak 25,000 akaun pengguna dijangka terjejas melibatkan seluruh kawasan Indera Mahkota, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan, Kampung Tiram, Bukit Istana, Bukit Setongkol, Kota SAS, Kampung Padang, Taman Impian, Bukit Bakong, Batu Sawar dan Bukit Kuin.
Gangguan itu juga melibatkan kawasan sepanjang Jalan Sungai Lembing dan Jalan Semambu, Pelindung dan Air Putih, Taman Pertanian, Kompleks Tun Razak (KOMTUR) dan kuarters Polis di Pelindung.
"Pengguna dinasihatkan untuk membuat persediaan dengan menyimpan air secukupnya sepanjang tempoh gangguan," menurut kenyataan itu.
Mereka yang mempunyai pertanyaan diminta untuk menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di 09-5739999.
Tiada ulasan: