Kerajaan lulus lesen kepada Lynas untuk terus beroperasi dengan syarat... - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Kerajaan lulus lesen kepada Lynas untuk terus beroperasi dengan syarat...

Lynas: Bom jangka yang menunggu masa untuk meletus?

Kuantan - Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (LPTA) membaharui lesen operasi Lynas Malaysia Sdn Bhd selama enam bulan, dengan bersyarat.

Menerusi kenyataan media hari ini, LPTA menjelaskan Lynas perlu mematuhi TIGA syarat yang telah ditetapkan.

Perkara itu diputuskan, setelah kerajaan persekutuan Australia dan kerajaan negeri Western Australia memaklumkan kepada Malaysia, yang penghantaran balik sisa buangan radioaktif (WLP) Lynas ke negara itu tidak akan diterima. 

Syarat tersebut menyebut, Lynas perlu mengemukakan perancangan bagi pembinaan kemudahan "Cracking and Leaching" atau "proses pemecahan dan larut lesap" di luar negara.

Ia bagi tujuan memindahkan proses tersebut yang kini dijalankan di lojinya di Gebeng, Kuantan, keluar dari Malaysia.
Kemudahan proses pemecahan dan larut lesap itu, perlu dibina dan mula beroperasi dalam tempoh 4 tahun dari tarikh sah lesen.

Selepas kemudahan berkenaan mula beroperasi di luar negara, pemegang lesen tidak lagi dibenar menghasilkan sisa buangan radioaktif melebihi 1 'becquerel' segram.

Lynas juga diminta mengenal pasti tapak spesifik untuk pembinaan kemudahaan pelupusan kekal (PDF) dan hendaklah mengemukakan kebenaran secara bertulis daripada kerajaan negeri.

Syarat seterusnya, Lynas perlu menamatkan semua aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan penggunaan semula sisa buangan radioaktif sebagai "candisoil" dalam bidang pertanian.

Lynas juga hendaklah mengemukakan 0.5% daripada jualan kasar setiap tahun yang ditetapkan untuk usaha R&D sebelum ini kepada kerajaan Malaysia.

Ia sebagai cagaran tambahan, sehingga kemudahan proses pemecahan dan larut lesap di luar negara mula beroperasi.

Tiada ulasan: