Kadar kemiskinan di Malaysia ialah 15% bukan 0.4% seperti dilaporkan - Pakar PBB
![]() |
Realiti: Kadar kemiskinan di Malaysia sebenarnya masih tinggi. |
Petaling Jaya - Seorang pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada Jumaat (23 Ogos) mempersoalkan dakwaan Malaysia, bahawa kemiskinan di negara itu sudah hampir dibasmi sepenuhnya. Menurut Encik Philip Alston, perangkaan rasmi yang dikeluarkan tidak tepat dan tidak mencerminkan keadaan sebenar.
Kadar kemiskinan rasmi di Malaysia merosot dari 49 peratus pada 1970 kepada hanya 0.4 peratus pada 2016 seperti dilapor oleh Kerajaan Malaysia.
Bagaimanapun, Encik Alston, seorang pelapor khas PBB, mengenai kemiskinan teruk dan hak manusia berkata garis kemiskinan rasmi tidak menggambarkan kos hidup di Malaysia dan mengecualikan penduduk-penduduk yang mudah terjejas dalam angka-angka rasminya.
Analisis yang dilakukan kumpulan-kumpulan bebas membayangkan bahawa Malaysia masih mempunyai masalah kemiskinan ketara dengan paras kemiskinan sebenar sekitar 15 peratus, menurut Encik Alston.
“Walaupun Malaysia mencapai pertumbuhan mengagumkan dalam mengurangkan kemiskinan dalam tempoh 50 tahun yang lalu, dakwaan rasmi bahawa kemiskinan sudah dibasmi dan dalam jumlah kecil di kawasan luar bandar adalah tidak betul dan telah melumpuhkan pembuatan dasar,” katanya dalam kenyataan hari ini (23 Ogos), selepas lawatan 11 hari ke negara tersebut.
Menteri Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali bagaimanapun berkata kerajaan mempertahankan kadar kemiskinan yang dicatatkan pada 2016 sebanyak 0.4 peratus.
Bagi meningkatkan keberkesanan pembasmian kemiskinan, kerajaan katanya menyemak kaedah garis kemiskinan bagi mencerminkan lebih baik kos kehidupan.
Garis kemiskinan kebangsaan ditetapkan pada RM980 setiap isi rumah sebulan, bermakna satu keluarga 4 orang hidup dengan hanya RM8 seorang setiap hari.
Encik Alston berkata paras itu terlalu rendah, kerana kadar kemiskinan sebenar di Malaysia lebih tinggi daripada angka-angka rasmi kerajaan.
Beliau pernah bertemu keluarga-keluarga yang tidak mampu membayar sewa, atau tidak menghantar anak-anak ke sekolah, dan tidak mendapatkan rawatan kesihatan kerana tidak mampu menanggung pengangkutan.
Tambah Encik Alston orang bukan warganegara seperti pelarian, pendatang asing dan orang tanpa kerakyatan dikecualikan daripada statistik rasmi.
Beliau menyeru Putrajaya mengkaji semula mekanisme mengukur kemiskinan bagi memperakui dan menangani kepayahan hidup ramai rakyat.
“Malaysia membuat kemajuan yang nyata dalam pelbagai komitmen yang progresif, tetapi kerajaan baru tidak boleh menafikan kewujudan golongan miskin dan terpinggir,"katanya.
Tiada ulasan: