Kerajaan Persekutuan jamin terus bantu Pahang

Kuantan - Kerajaan Persekutuan memberi jaminan membantu Pahang dalam aspek pengurusan aset dan sumber airnya.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata sebahagian besar kawasan di Pahang adalah lokasi tadahan air terpenting bagi menjamin kesinambungan bekalan air bersih dan terawat di negeri itu dan negeri jiran.
“Ini bukan berkaitan pengurusan air semata-mata kerana kita turut melihat kos penyelenggaraan empangan yang membabitkan kos besar sedangkan Kerajaan Pahang berdepan kekangan berkaitan, termasuk sumber (kewangan) terbatas.
“Justeru, kita berpendapat pengurusan air kekal di bawah pengurusan kerajaan negeri, tetapi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) akan melihat keperluan dalam aset air yang sudah pasti memerlukan jumlah besar untuk dinaiktaraf.
“Kita akan turut membantu usaha mengurangkan kehilangan sumber daripada air tidak berhasil (NRW) yang merugikan kerajaan negeri. Saya dimaklumkan di Pahang, kadar NRW agak tinggi iaitu 46 peratus dan untuk mengurangkan satu peratus sahaja memerlukan ratusan ribu ringgit,” katanya.
Mohamed Azmin berkata demikian selepas menyampaikan peruntukan RM3 juta kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi membiayai projek menaik taraf Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini hari ini.
Beliau berkata, antara langkah bagi mengurangkan NRW ialah menggantikan paip lama bagi memastikan tiada kebocoran, selain membanteras masalah kecurian air dan ia hanya boleh dilakukan melalui kerjasama rapat antara Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri.
Komitmen Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Pahang, terutama dalam menangani isu air juga terserlah melalui pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang meluluskan RM653 juta bagi tiga projek air di negeri itu.
Mohamed Azmin berkata, selain air, peruntukan pembangunan turut disalurkan kepada Pahang bagi meningkatkan kemudahan infrastruktur berkaitan.
“Pada sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang dipengerusikan bersama Datuk Seri Wan Rosdy baru-baru ini, kita sudah mengumumkan sejumlah RM2.42 bilion akan diberikan kepada Kerajaan Pahang bagi melaksanakan pelbagai projek mengikut Rolling Plan 4 2019 Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
“Ada yang membabitkan projek besar dan penting kepada rakyat seperti pembangunan Hospital Maran yang tertangguh sekian lama kerana isu tanah yang kini dapat diselesaikan dan kita akan berbincang dengan Kementerian Kesihatan supaya projek ini disegerakan.
“Kita turut melihat bagaimana pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dapat memberi manfaat kerana kita tidak mahu pelaburan besar seperti ini tidak mencapai matlamat ditetapkan,” katanya.
Tiada ulasan: