Paras air empangan Pahang mampu bertahan sehingga Mei - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Paras air empangan Pahang mampu bertahan sehingga Mei


Kuantan -  Empat empangan di Pahang yang membekalkan sumber air masih berada dalam paras yang baik.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman, berkata empangan itu ialah Empangan Chereh di sini, Empangan Klau di Raub dan dua empangan di Rompin, iaitu Empangan Anak Endau dan Empangan Pontian.

Merujuk kepada situasi di Kuantan, Norol Azali berkata, setakat ini muka sauk Kobat dan dua loji rawatan air iaitu Bukit Kenau dan Panching masih lagi menggunakan aliran semula jadi Sungai Kuantan sebagai sumber bekalan air.

“Kita masih tidak melepaskan air dari Empangan Chereh kerana sumber air sungai boleh digunakan, namun pemantauan dari semasa ke semasa dilakukan oleh jabatan terbabit mengenai kedudukan paras sungai.

“Jika terdapat keperluan, perbincangan akan diadakan dengan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) bagi melepaskan air empangan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Empangan Chereh di sini, semalam.

Norol Azali berkata, paras terkini Empangan Chereh ialah 63 meter dengan jumlah air sebanyak 125 juta meter padu atau sebanyak 50 peratus, berbanding tahap maksimum 75 meter dengan 250 juta meter padu air.

“Paras terkini kerana kita telah melepaskan air pada Februari hingga September tahun lalu bagi membantu menaikkan paras air Sungai Kuantan, ekoran kejadian ban pasir pecah di muka sauk Kobat.

“Setakat ini, kita masih belum dapat menakung air sehingga ke peringkat takungan maksimum, namun insya-Allah, paras terkini empangan boleh bertahan sehingga tamat musim kemarau yang dijangka pada Mei depan,” katanya.

Norol Azali berkata, penduduk mesti menggunakan air secara berhemah dan bertanggungjawab sebagai langkah berhati-hati jika musim kemarau berlanjutan.

Mengulas jika kerajaan negeri akan melaksanakan proses pembenihan awan, Norol Azali berkata, mengambil kira keadaan semasa, masih tiada keputusan untuk melaksanakannya. - Bernama

Tiada ulasan: