Operasi besar-besaran pihak penguasa di 4 lokasi sekitar Kuantan - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Operasi besar-besaran pihak penguasa di 4 lokasi sekitar Kuantan


Kuantan: Empat lokasi panas yang sering berlaku kemalangan di daerah ini menjadi tumpuan polis pada Op Selamat 14 sempena Tahun Baharu Cina bermula 29 Januari lalu.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuantan, Asisten Superintendan Ahmad Ridha Hariri, berkata lokasi terbabit adalah di Kilometer (KM) 36 hingga KM 48 Jalan Kuantan; KM 11 hingga KM 20 Jalan Kuantan Bypass; KM 32 hingga KM 35 Jalan Kuantan-Kemaman dan KM 23 Jalan Kuantan-Gambang.

“Polis akan melakukan rondaan lebih kerap di kawasan berkenaan supaya kehadiran anggota penguat kuasa dapat meningkatkan kesedaran pemandu untuk lebih berhati-hati dan berwaspada,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Ops Selamat Sempena Tahun Baharu Cina Peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di Plaza Tol Gambang di sini, hari ini.

Ahmad Ridha berkata, 2,667 saman dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di daerah ini yang melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas dalam tempoh enam hari sejak Op Selamat 14 dilancarkan.

“Ia menunjukkan peningkatan 611 saman berbanding kempen sama pada tahun lalu yang mencatatkan 2,056 saman dikeluarkan.

“Paling banyak adalah kesalahan memandu atau menunggang melebihi had laju dengan 2,030 saman, diikuti menggunakan telefon ketika memandu (31 saman) dan lain-lain kesalahan,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Ridha berkata, sebanyak 118 kes kemalangan berlaku di daerah ini sepanjang Op Selamat diadakan namun tiada kemalangan maut setakat ini.

“Jumlah kemalangan ini juga menunjukkan penurunan 39 kes berbanding Op Selamat tahun lalu iaitu sebanyak 157 kes. Tahun lalu juga terdapat empat kemalangan maut dilaporkan berlaku,” katanya.

Tiada ulasan: