Kuantan - Hampir 40 hektar hutan di kawasan perindustrian Gebeng di sini terbakar, menyebabkan beberapa kawasan sekitar daerah Kuantan diselubungi bau asap.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pahang Nor Hisham Mohammad berkata pihaknya menerima aduan kebakaran itu daripada orang awam pada pukul 2.30 petang semalam, dipercayai bermula dari kawasan tasik di hutan itu.
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pekerja beberapa kilang di sini, terdapat ramai yang memancing dan kami syaki kebakaran berpunca apabila ada antara mereka melakukan aktiviti melibatkan api semasa memancing.
"Api merebak dengan cepat memandangkan kawasan ini adalah bekas kawasan pengeluaran balak dan hutan akasia. Kami jangka kebakaran selewat-lewatnya dapat dipadamkan dalam tempoh sehari dua," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Nor Hisham menambah setakat ini, seramai 21 pegawai dan anggota bomba serta 14 sukarelawan Gebeng Emergency Mutual Aid terdiri daripada kilang utama di sini iaitu Kaneka Malaysia, Lynas Malaysia Sdn Bhd dan Petronas Chemical MTBE Sdn Bhd selain dibantu kilang Alliance Steel (M) Sdn Bhd.
Beliau berkata setakat ini, pihaknya menggunakan tiga kaedah untuk mengawal dan memadam api iaitu membina empangan serta meningkatkan paras air di kawasan kebakaran bagi mengelakkan api melarat ke kawasan lain.
"Selain itu, kami juga memantau kawasan menggunakan drone bagi mengetahui kepantasan api merebak dan arah angin di kawasan terlibat. Kami juga memantau laluan Jalan Pintasan Kuantan-Pelabuhan bagi memaskan kebakaran tidak merebak ke situ.
"Kami telah bertemu dengan wakil dua kilang yang mempunyai asrama di sini untuk memaklumkan perkara ini supaya pekerja dapat mengambil langkah sewajarnya seper minum air secukupnya," katanya.
Nor Hisham seterusnya menasihatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka kerana berlaku trend peningkatan dalam laporan kebakaran sejak minggu lalu.
Katanya, sebanyak 24 laporan kebakaran diterima pada Sabtu, Ahad (20 aduan) dan Isnin (19 laporan) termasuk laporan kebakaran berskala besar di iaitu hutan berhampiran ladang sawit di Muadzam Shah dan di laluan Nenasi, Pekan dekat sini.
Tiada ulasan: