Siak lepas gian dalam masjid - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Siak lepas gian dalam masjid


SEBUAH masjid di pusat bandar Kuantan dijadikan sarang penagihan dadah sejak beberapa bulan lalu.
Ia selepas Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melakukan serbuan dan menahan lima lelaki termasuk seorang siak masjid berkenaan, awal pagi hari ini.
Difahamkan, lima lelaki berusia 30 hingga 58 tahun berkenaan sudah menjadikan masjid berkenaan sebagai sarang penagihan dadah sejak beberapa bulan lalu sebelum diserbu.


Ketua Unit Operasi AADK Pahang, Zulkipli Muhammad, berkata, operasi dijalankan pihaknya hasil maklumat orang ramai yang curiga dengan aktiviti dilakukan siak berusia 58 tahun itu bersama rakannya.
Beliau berkata, ketika ditahan siak terbabit bersama empat rakannya baru melepaskan gian sebelum ditahan.
“Agak mengejutkan kerana biasanya masjid hanyalah rumah ibadat untuk umat Islam menunaikan solat dan menjalankan aktiviti keagamaan. Namun sebaik selesai solat Isyak hingga masuk waktu Subuh ia menyimpan cerita yang tidak sedap didengar apabila kawasan masjid itu dijadikan sarang penagihan dadah.
“Berdasarkan keterangan mereka, kawasan stor masjid itu dijadikan tempat mereka melepaskan ketagihan... aduan yang dibuat orang ramai membawa kita kepada penahanan mereka selepas risikan dijalankan sejak beberapa hari lalu.
“Ujian air kencing dilakukan mendapati mereka postif dadah jenis heroin,” katanya ketika dihubungi, di Kuantan, hari ini.
Zulkipli berkata, siasatan awal mendapati siak terbabit pernah ditahan sebelum ini atas kesalahan sama sebelum kembali menagih dadah.
Katanya, semua ditahan dibawa ke Ibu Pejabat AADK Kuantan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983,” katanya.

kredit: Berita TV9 & Harian Metro

Tiada ulasan: