Rombakan Pengurusan PAIP kerana kes rasuah RM23 juta - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Rombakan Pengurusan PAIP kerana kes rasuah RM23 juta


Ahli Lembaga Pengarah Syarikat Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dijangka mengadakan mesyuarat khas dalam tempoh terdekat ekoran pendedahan skandal salah guna kuasa dan rasuah melibatkan projek RM23 juta, baru-baru ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata beliau mengarahkan mesyuarat itu diadakan segera bagi membincangkan perkara berkenaan.

Ditanya jika akan berlaku rombakan besar-besaran dalam syarikat itu, Wan Rosdy berkata: “Kita tunggu mesyuarat khas ahli lembaga pengarah Paip yang akan diadakan nanti.

“Benda ini dalam siasatan…jadi biar pihak bertanggungjawab menjalankan siasatan,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penyampaian Bantuan Kerajaan Negeri serta Hadiah Pelajar Cemerlang UPSR 2018 Parlimen Raub di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sallehuddin Ishak, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli, Datuk Aziz Kiram yang juga Adun Batu Talam dan Pengurus Besar Yayasan Pahang, Datuk Mahmud Mohd Nawawi.

Pada 11 Januari lalu, 7 termasuk 4 pegawai pengurusan tertinggi Paip Pahang direman di Mahkamah Majistret Kuantan bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa dan rasuah melibatkan projek bernilai RM23 juta.

Tiga yang ditahan itu dipercayai kontraktor yang dilaporkan memonopoli dan memperoleh projek ditawarkan perbadanan itu secara rundingan terus.

Isnin lalu, 5 lagi suspek, termasuk 3 pegawai Paip turut direman bagi membantu siasatan kes sama mengikut Seksyen 17 (a) Akta Pencegahan Rasuah atas kesalahan meminta dan memberi rasuah.

Mereka berumur 30 hingga 60 tahun it ditahan dalam “Op Cuci” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan Ketua Audit Negara 2017 yang dikeluarkan sebelum ini menyatakan Paip mengalami kerugian 3 tahun berturut-turut, iaitu RM114.55 juta sehingga tahun kewangan berakhir 31 Mac 2015, RM108.22 juta (31 Mac 2016) dan RM103 juta (31 Mac 2017).

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, beliau sebagai ketua kerajaan dengan hati terbuka menerima teguran dan amanah Sultan Pahang semalam yang mahukan pemimpin semua peringkat menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah.

“Kita akan cuba lakukan tanggungjawab serta amanah diberikan sebaik mungkin, selain mahukan semua pemimpin tidak kira peringkat juga mengambil maklum titah berkenaan,” katanya.

Tiada ulasan: