Pertabalan Agong: Jalan ditutup sekitar Pekan, Kuantan

Kuantan - Beberapa laluan di daerah ini akan ditutup sempena istiadat memuliakan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke Istana Negara esok.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan meninggalkan istana negeri untuk ke Istana Negara di Kuala Lumpur pagi esok.
Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkuat kuasa esok bagi menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan pada 6 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusuf Ali berkata, laluan yang akan ditutup adalah bermula dari jalan Istana Abdul Aziz melalui jalan Kuantan Bypass menuju ke jalan Kuantan-Gambang dan pusingan U di lampu isyarat Panching hingga ke pengkalan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM).
"Semua laluan itu akan ditutup bermula pukul 7 pagi sehingga semua acara selesai," katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, bagi mengelak kesesakan lalu lintas, pihaknya telah menetapkan dua kawasan untuk meletak kenderaan bagi mereka yang ingin melihat perarakan itu.
"Bagi sambutan di sekitar jalan Istana Abdul Aziz, orang ramai boleh meletak kenderaan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) dan kawasan lapang di Kota Sultan Ahmad Shah.
"Sambutan di TUDM pula, orang ramai boleh meletak kenderaan di kawasan Pasaraya Nirwana dan Pasar Jaya Gading," ujarnya.
Bagi memastikan perarakan berjalan lancar, orang ramai dinasihatkan agar tidak meletak kenderaan di bahu jalan dan berkumpul sehingga menghalang lalu lintas.
Tiada ulasan: