Murid SK Sg Isap hidap sakit buah pinggang kronik tetap bersemangat ke sekolah - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Murid SK Sg Isap hidap sakit buah pinggang kronik tetap bersemangat ke sekolah


KUANTAN: Tidak mampu berdiri dan berjalan dalam tempoh lama akibat menghidap penyakit buah pinggang yang kronik sejak kecil.
Namun, semua kekurangan itu tidak menjadi penghalang buat murid Tahun Satu, Mohamad Hazim Hafifi Mat, 7, yang bersemangat untuk memulakan hari pertama persekolahannya di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Isap, di sini, hari ini.
Ibunya, Anisah Sidek, 48, Mohamad Hazim Hafifi disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak berusia sembilan bulan apabila satu buah pinggangnya gagal berfungsi dengan baik.
Katanya, anak bongsu daripada tujuh beradik itu mula menjalani rawatan dialisis di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sejak berusia 18 bulan hingga kini berusia tujuh tahun.
“Walaupun menyedari dia berbeza dan tidak aktif seperti rakan sebayanya yang lain dia tetap semangat untuk bersekolah, malah sejak beberapa bulan lalu dia sudah tanya bila hendak hantar dia ke sekolah kerana ingin belajar.
“Saya lihat semangat dia, saya sebagai ibu jadi terharu dan akan cuba sedaya upaya untuk pastikan impiannya belajar seperti kanak-kanak lain tercapai,” katanya ketika ditemui di SK Sungai Isap.
Bagaimanapun Anisah memaklumkan, anaknya perlu menjalani rawatan dialisis pada setiap hari Selasa, Khamis dan Sabtu yang menyebabkan Mohamad Hazim Hafif hanya boleh ke sekolah pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat sahaja.
Suri rumah itu berkata, surat pelepasan kelas serta laporan perubatan dari HTAA sudah diserahkan kepada pejabat pendidikan daerah di sini, memaklumkan mengenai tahap kesihatan anaknya yang memerlukan rawatan dan penjagaan rapi.
“Hazim tidak boleh aktif dan bermain seperti murid lain malah jika dia berjalan perlu dibantu… Saya juga sudah maklumkan kepada guru jika dia ingin ke tandas perlu dibantu,” katanya.
Dalam nada sayu, Anisah memaklumkan anaknya teringin menjalani kehidupan normal seperti kanak-kanak lain walaupun sudah menjalani 10 pembedahan sejak berusia 18 bulan.
Katanya, pengambilan ubat dan pemakanan Mohamad Hazim Hafifi juga perlu dipantau setiap hari bagi mengelaknya mudah dijangkiti penyakit dan demam.
“Doktor maklumkan jika anak saya terus menjalani dialisis seperti dijadualkan dan mengambil ubat dia boleh membesar seperti kanak-kanak lain walaupun kini dia bertubuh kecil dengan berat 16 kilogram berbanding murid lain,” katanya.