Kuantan berisiko terkena tempias ribut Tropika Pabuk - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Kuantan berisiko terkena tempias ribut Tropika Pabuk


HUJAN lebat berserta angin kencang diramalkan melanda perairan pantai timur negara berikutan laluan ribut Tropika Pabuk di kawasan berkenaan bermula hari ini.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM), Alui Bahari berkata, kedudukan terkini ribut berkenaan adalah di Latitud 6.1 Utara dan Longitud 108.0 Timur kira-kira 545 kilometer (km) ke Tenggara Ho Chi Minh City, Vietnam.
"Ribut Tropika Pabuk kini dijangka bergerak 15 kilometer sejam (kmsj) ke arah barat dan boleh menyebabkan hujan lebat dan angin kencang melebihi 50 kmsj.
"Ia juga boleh mengakibatkan laut bergelora dengan ketinggian ombak melebihi 3.5 meter di perairan Kelantan, Terengganu dan Pahang," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, bagaimanapun jarak ribut berkenaan agak jauh dari pesisir pantai iaitu dari Kuala Terengganu adalah 612 kilometer (km) dan Kota Bharu adalah 697 km.
"Angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri," katanya.
Keadaan itu turut disertai Amaran Angin Kencang yang boleh melebihi 60kmsj di mana mmbak boleh mencapai ketinggian melebihi 4.5 meter di kawasan perairan Laut China Selatan sepanjang timur Semenanjung Sarawak, Wilayah Persekutuan Labuan dan barat Sabah sehingga 5 Januari ini.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini Ribut Tropika Pabuk yang dikemas kini setiap 3 jam di laman sesawang MET dan aplikasi myCuaca.