Keempat-empat suspek berusia antara 40 hingga 59 tahun itu ditahan dalam satu operasi besar-besaran yang dikenali 'Op Cuci' yang dilakukan SPRM.
Menurut sumber, selain mereka, lapan orang pemilik syarikat yang disyaki bersekongkol dengan pegawai-pegawai terbabit turut dipanggil untuk membantu siasatan.
Ujarnya, lapan syarikat kontraktor tersebut dikatakan telah memonopoli projek-projek bernilai RM50,000 yang ditawarkan oleh perbadanan tersebut.
"Kesemua kerja-kerja ini diberikan secara runding terus dan bagi kerja-kerja melebihi RM50,000.00 akan dibuat secara pecah kecil dan dibahagikan kepada dua fasa atau tiga fasa tanpa melalui proses sebut harga.
"Sehubungan itu, kesemua mereka akan direman di Mahkamah Majistret Kuantan, Pahang esok bagi siasatan lanjut ibawah seksyen 17(a), seksyen 18 dan seksyen 23 Akta SPRM 2009," katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Bin Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan itu dan bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.


TERKINI: Tujuh termasuk CEO direman kerana rasuah


Kuantan: Empat pegawai kanan, termasuk ketua pegawai eksekutif (CEO) berpangkat Datuk, sebuah syarikat pengurusan air di sini direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan rasuah dan salah guna kuasa membabitkan projek bernilai RM23 juta.

Perintah reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Kuantan, Humaira KM Haider di Kompleks Mahkamah Kuantan ke atas suspek yang berusia antara antara 30-an dan 60 tahun itu.

Turut direman mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 itu adalah tiga kontraktor yang dikatakan terbabit dalam kes itu.
Kesemua suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga sebelum itu tiba di kompleks mahkamah berkenaan pada pukul 9.20 pagi dan keluar lebih sejam kemudian diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

CEO berkenaan dan seorang lagi pegawai kanan syarikat itu diwakili peguam Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar manakala yang lain tidak diwakili peguam.

Kesemua mereka ditahan dalam satu operasi besar-besaran yang dikenali ‘Op Cuci’ yang dilaksanakan SPRM semalam.

Media semalam melaporkan kegiatan pegawai kanan itu sudah berjalan sejak 2014 lagi dan sepanjang tempoh empat tahun kebelakangan ini, projek-projek yang dikeluarkan badan negeri itu dimonopoli dan dikawal oleh seorang kontraktor.

Projek itu dimonopoli lapan syarikat, namun syarikat itu disyaki dikawal oleh kontraktor berkenaan yang dipercayai mempunyai hubungan baik dengan pegawai kanan termasuk CEO berkenaan.