Skate Park di Kompleks Belia & Sukan sudah uzur - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Skate Park di Kompleks Belia & Sukan sudah uzur


KEADAAN kemudahan gelanggang papan selaju atau ‘skate park’ di Kompleks Belia Dan Sukan di Kuantan didakwa sudah uzur dan usang dan memerlukan pembaikan segera.

Peminat sukan papan selaju di daerah itu mendakwa beberapa struktur di kawasan itu sudah tidak sesuai seperti besinya berkarat yang boleh membahayakan orang ramai yang menggunakan kemudahan itu setiap hari.

Timbalan Pengerusi Kelab Skateboard Timur, Zulkhairy Mohd Noor, 30, berkata, masalah itu bermula sejak empat tahun lalu apabila besi di ‘skate park’ itu semakin berkarat manakala papan lapis yang digunakan pula sudah reput.

“Keadaannya semakin uzur dan ada pemain yang cedera termasuk patah kaki, patah bahu dan luka disebabkan keadaan tempat ini yang sudah usang.

“Saya sendiri pernah terjatuh akibat keadaan kemudahan yang uzur ini sehingga mengakibatkan saya mengalami masalah gegaran otak,” katanya ketika ditemui di Kuantan, baru-baru ini.

Zulkhairy berkata, kemudahan ‘skate park’ itu perlu dibaiki segera kerana ia menjadi satu daripada tempat bagi anak muda mengasah bakat baharu dalam sukan ekstrem berkenaan.

“Sejak dibuka pada 2005, ‘skate park’ ini berjaya menghasilkan ramai jaguh dalam sukan ekstrem ini termasuk saya sendiri yang pernah mewakili Pahang dan Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Kemudahan asas untuk menyokong sukan ini sangat penting bagi mengembangkannya, saya lihat negara jiran menyediakan infrastruktur lebih baik kepada penggiat sukan itu di sana,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Lee Chean Chung berkata, beliau difahamkan antara punca ‘skate park’ itu tidak diselenggara dengan baik kerana kompleks berkenaan akan dipindahkan ke kawasan baharu di Kampung Pak Mahat di Kuantan dalam tempoh dua tahun.

“Saya akan bawa perkara ini kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) supaya kemudahan ini dapat dibaiki dengan segera.

“Saya minta kementerian membaiki dahulu kemudahan yang rosak dan uzur itu kerana kalau hendak tunggu dua tahun dibimbangi berlaku kejadian tidak diingini kepada orang ramai yang menggunakannya,” katanya.