Polis, MPK buang iklan pinjaman ahlong

KUANTAN - Polis Pahang hari ini menurunkan 1,000 poster iklan syarikat pinjaman wang tidak berlesen menerusi Ops Vulture di sekitar pusat bandar ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, seramai enam anggota jabatannya termasuk tiga pegawai ditugaskan semasa operasi itu.
Tambah beliau lagi, operasi tersebut turut disertai lapan petugas Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) untuk membantu dan menerima serahan poster-poster yang diturunkan.
"Operasi ini dijalankan dengan tujuan untuk membanteras kegiatan sindiket pemberi pinjaman wang yang tidak berlesen.

"Ia juga bertujuan membendung aktiviti promosi iklan pemberi pinjam wang tanpa lesen daripada terus berleluasa memperdaya orang awam di sekitar daerah ini," kata Mohd. Wazir.
Ujar beliau, operasi tersebut dijalankan di sekitar tempat awam bermula pukul 8.30 pagi dan berakhir sehingga petang tadi. "Semua poster yang dirampas akan dilupuskan oleh pihak MPK. Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak berurusan dengan syarikat pemberi pinjaman wang yang beroperasi secara tidak sah," katanya.
Tiada ulasan: