*Penyerang guli misteri menghantui penduduk Kuantan - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

*Penyerang guli misteri menghantui penduduk Kuantan


KUANTAN - Penduduk di bandar ini semakin bimbang keselamatan diri mereka selepas banyak berlaku insiden melontar guli ke arah cermin kereta hingga sering mengakibatkan kerosakan.

Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Aidil Haryman Mat Nor berkata, kejadian ini dilaporkan berlaku sejak Jun lalu di Jalan Kampung Tengah, Jalan Wong Ah Jang, Jalan Kampung Jawa dan Jalan Haji Junid.

“Sebanyak 11 kes diajukan kepada pihak kami bermula Jun sehingga kes terbaru pada 6 Dis lalu.

“Kami percaya guli ini dilastik atau ditembak menggunakan senapang angin ke arah kereta-kereta mangsa jika dilihat kepada kesan yang ada,” katanya pada sidang media di Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan di sini, hari ini.

Menurutnya, kejadian sering berlaku ketika memandu antara jam 7 petang sehingga 12 tengah malam.

“Mangsa mendakwa guli dibaling oleh kenderaan yang berselisih dengan mereka semasa mereka memperlahankan kenderaan dan ketika melalui bonggol.

“Pelaku dilaporkan menggunakan kereta atau motosikal dan kejadian berlaku dengan pantas dan tidak disedari mangsa,” katanya.

Aidil Haryman berkata, pihaknya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan mengenai kejadian itu kerana bimbang ia bermotifkan rompakan selain menyebabkan kecederaan kepada orang awam.

Sementara itu, seorang mangsa, Chin Tung Joon, 45, mendakwa pada 6 Disember lalu cermin tepi bahagian belakang keretanya pecah ketika melalui Jalan Kampung Jawa.

“Cermin kereta saya tiba-tiba pecah ketika melalui kawasan tersebut kira-kira jam 11.45 malam dan setelah diperiksa, saya menemui guli yang dipercayai menjadi puncanya.

“Saya kemudiannya membuat laporan polis pada keesokan hari selepas mendapati berlaku beberapa kes yang sama di kawasan ini,” katanya. - Bernama

*Polis rungkai misteri kes baling guli di Kuantan

KUANTAN, 21 Dis - Misteri kes cermin kereta pecah di sekitar bandar ini akibat dilastik dengan guli oleh individu tidak dikenali akhirnya terjawab apabila polis menahan seorang lelaki berusia 56 tahun yang dipercayai terlibat dengan kejadian itu pada petang Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata suspek berjaya ditahan di kediamannya di taman perumahan Bukit Setongkol sejurus selepas mangsa terbaharu membuat laporan polis beserta maklumat nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan suspek.
“Semakan mendapati kenderaan serbaguna SUV berwarna putih milik suspek sepadan dengan laporan yang dibuat oleh salah seorang mangsa.

Juruteknik lastik kenderaan mengaku tidak bersalah


KUANTAN, 27 Dis - Seorang juruelektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari atas empat tuduhan melakukan khianat dengan melastik beberapa kenderaan di sekitar Kuantan, baru-baru ini.

Mohd Kamal Jamaluddin, 54, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nor Azizah Aling.
Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Kamal didakwa dengan sengaja melastik kereta seorang individu menggunakan bola guli, dengan niat menyebabkan kerosakan sehingga mangsa kerugian RM500, kira-kira jam 11.45 malam, 15 Disember lepas.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melastik cermin kereta milik seorang individu lain di Kampung Baru Seri Teruntum sehingga mangsa kerugian RM200, kira-kira jam 2.40 petang, hari yang sama.
Manakala pertuduhan ketiga pula, dia didakwa melakukan khianat sekali lagi dengan cara melastik kenderaan orang awam sehingga mangsa kerugian RM250, kira-kira jam 9.30 malam, 18 Disember lalu.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan, Pegawai Pendakwa V Mubeswaran memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM4,000 setiap satu kes dengan seorang penjamin bercagar.
Namun tertuduh merayu wang jaminan dikurangkan kerana menanggung dua anak dengan gaji RM3,000.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan dibenarkan sebanyak RM7,500 untuk ketiga-tiga pertuduhan, dengan tiga orang penjamin bercagar.

Kes ditetapkan 21 Januari depan untuk pengurusan serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sementara itu di mahkamah berasingan, dia didakwa melakukan perbuatan sama terhadap kenderaan awam di kawasan Kampung Jawa di sini sehingga mangsa kerugian RM400, kira-kira jam 9.30 malam, pada 27 Ogos lalu.

Dia mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurunaim Abdullah yang kemudiannya menetapkan 11 Januari depan untuk pengurusan kes dan lantikan peguam.

Tiada ulasan: