Jenayah: Lelaki OKU didakwa ugut ayah dengan parang

KUANTAN, 28 Dis - Seorang lelaki kelainan upaya (OKU) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengugut bapanya dengan menggunakan sebilah parang, dua hari lalu.
Faizul Azhar Baharum, 45, yang berasal dari Felda Bukit Goh di sini, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Majistret Nor Azizah Aling.
Dia yang menggunakan tongkat ketiak (topong) untuk membantunya berjalan didakwa mengacukan parang ke arah Baharum Ishak, 70, di belakang warung simpang masuk Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Bukit Goh di sini, pada 3 petang 26 Dis lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh yang masih bujang didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding itu, Faizul Azhar merayu jaminan yang ditawarkan Pegawai Pendakwa Insp. V. Muneswaran sebanyak RM4,000 dikurangkan atas alasan dia tiada pekerjaan tetap.
"Saya seorang OKU dan ada kad (perakuan OKU) jika mahkamah mahu lihat... saya hanya buat kerja kampung dan boleh dapat antara RM450 ke RM500 sebulan. Memang (pendapatan) cukup-cukup makan sahaja," katanya.
Nor Azizah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin berserta syarat dia tidak menganggu mangsa sepanjang kes berjalan dan menetapkan 18 Jan depan untuk lantikan peguam. - Bernama
Tiada ulasan: