Geng Tatoo tumpas - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Geng Tatoo tumpas



SELEPAS hampir setahun dipercayai aktif melakukan jenayah pecah rumah dan premis perniagaan di Kuantan, Geng Tatoo akhirnya tumpas selepas enam ahlinya ditahan, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, semua suspek berusia 17 hingga 33 tahun itu dipercayai terbabit dalam tujuh kes pecah rumah di sekitar Kuantan.

“Penahanan pertama dilakukan pada 5 Disember lalu di Taman Wahyu, Kuala Lumpur. Dalam operasi itu, kita menahan tiga suspek termasuk seorang wanita kira-kira jam 10.45 malam.

“Susulan itu, dari tempoh 6 Disember hingga 8 Disember lalu, kita menahan tiga lagi suspek termasuk seorang wanita warga Thailand di Kuantan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, hari ini.

Mohamad Noor berkata, kes terbaharu yang dilakukan oleh geng itu adalah pada 29 November lalu apabila memecah masuk sebuah premis perniagaan di Kuantan sebelum melarikan wang tunai berjumlah RM60,000.

“Modus operandi geng ini adalah dengan memecah masuk premis perniagaan melalui pintu ‘roller shutter’ menggunakan pemotong besi dan pemutar skru,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan empat lelaki dipercayai terbabit dengan kes samun di sebuah stesen minyak di Jalan Kuantan Bypass, Kuantan, 8 November lalu.

Katanya, dalam kes yang tular di media sosial itu, dua lelaki dipercayai merampas telefon bimbit mangsa serta mengacukan parang sebelum melarikan diri.

“Suspek pertama ditahan pada 9 Disember lalu di kawasan Balok Baru, dan susulan itu, kita menahan tiga lagi suspek di sekitar Balok.

“Semua suspek yang berusia 23 hingga 28 tahun itu turut positif dadah jenis methamphetamine. Modus operandi suspek adalah dengan melakukan samun menggunakan parang,” katanya.

Tiada ulasan: