Geng Estima Hitam akhirnya berjaya diberkas polis - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Geng Estima Hitam akhirnya berjaya diberkas polis



KUANTAN: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Datuk Othman Nanyan berkata, pihaknya menumpaskan kumpulan pecah rumah Geng Estima Hitam selepas menahan tiga lelaki yang dipercayai dalang kumpulan itu di Rantau Panjang, Kelantan pada 4 Disember lalu.

Beliau berkata, suspek berusia lingkungan 28 hingga 39 tahun itu ditahan selepas dipercayai terbabit dengan 11 kes pecah rumah di empat buah negeri berlainan.

“Di Pahang sahaja sebanyak empat kes pecah rumah dilakukan oleh geng ini termasuk tiga di daerah ini dan suspek menggunakan kereta Toyota Estima sewaktu melakukan kegiatan mereka.

Hasil serbuan ini, kita turut merampas tiga kereta iaitu Toyota Estima, Toyota Avanza dan Mercedes Benz, wang tunai RM8,010 dan pelbagai barang kes selain telefon bimbit,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah rumah.

Geng pecah rumah akan membuat panggilan telefon di hadapan rumah mangsa



Sementara itu dalam kes berasingan, Polis menyelamatkan seorang lelaki yang diculik, dikurung dan diikat menggunakan tali di sebuah rumah di Pasir Mas, Kelantan selepas tiga hari dilarikan sekumpulan individu dari rumahnya di Jengka, Maran pada 10 Disember lalu.

Othman berkata dalam kejadian 11 malam itu, mangsa berusia 41 tahun yang ketika itu berada di rumahnya tiba-tiba didatangi sekumpulan lelaki yang menaiki sebuah kereta Perodua Myvi.

“Mangsa kemudian diheret ke dalam kereta sebelum dilarikan ke kawasan yang tidak diketahui mangsa dan dikurung. Isteri mangsa yang berusia 41 tahun membuat laporan mengenai kejadian berkenaan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini hari ini.

Bertindak atas laporan polis itu dan hasil siasatan yang dijalankan, beliau berkata sepasukan anggota dan pegawai polis menyerbu sebuah rumah di Pasir Mas, Kelantan kira-kira jam 11 malam 13 Disember lalu.

“Hasil serbuan berkenaan, kita dapat menyelamatkan mangsa yang diikat di dalam sebuah bilik serta menahan enam lelaki berusia antara 30 hingga 60 tahun dipercayai terbabit dengan kes ini. Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan kecederaan di badan dan pergelangan tangannya. Kita turut merampas sebuah Perodua Myvi yang digunakan untuk dalam kes ini,” katanya.

Othman berkata, siasatan mendapati, motif kejadian dipercayai disebabkan mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan tetap didapati mempunyai hutang dengan seorang daripada suspek sebanyak RM50,000.

“Mangsa dikatakan menjadi orang tengah bagi pembelian baja berharga RM126,000, namun baki RM50,000 mangsa tidak mampu bayar menyebabkan dia dikurung oleh suspek untuk tujuan supaya isteri mangsa membayar baki hutang berkenaan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (menculik dan melarikan seseorang dengan niat mahu mengurung dengan sulit dan salah), jika sabit kesalahan, boleh dipenjara hingga tujuh tahun dan boleh didenda,” katanya.