400 pelajar terima baucar kelengkapan sekolah di Parlimen Kuantan - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

400 pelajar terima baucar kelengkapan sekolah di Parlimen Kuantan


KUANTAN - Ahli Parlimen Kuantan dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh merasmikan Majlis Back To School anjuran bersama Pejabat Ahli Parlimen Kuantan, Kelab Prihatin Kuantan dan MBS World, di sini, hari ini.

Seramai 400 penerima dari 25 kawasan dalam tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuantan menerima baucar barangan kelengkapan sekolah pada majlis itu.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teruntum, Sim Chon Siang dan Pengarah Urusan MBS World, Albert Leong.

Hormati keputusan pucuk pimpinan

Pertikaian lantikan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) termasuk di Pahang, tidak sepatutnya timbul jika mereka memahami dan menghormati Perlembagaan parti berkenaan.

Fuziah yang  dilantik menjadi Pengerusi MPN Pahang, berkata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat keputusan mengenai perkara itu selepas mengadakan pertemuan dengan semua Ketua Cabang dan pimpinan parti berkenaan terlebih dahulu. Fuziah telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kuantan sejak 2008 dan telah mewakili PKR dalam pilihanraya sejak 1999.


“Kalau kita faham Perlembagaan parti, perkara ini tidak timbul. Masalahnya, ada yang mengeluarkan kenyataan seolah-olah pemilihan dibuat atas faktor tertentu dan bukan kerana mendapat sokongan daripada pucuk pimpinan dan ahli akar umbi.

“Bagi saya, ini semua adalah suara sumbang dan tidak menjejaskan fokus untuk menjalankan amanah yang diberikan Presiden. Saya anggap ia cabaran yang perlu dihadapi dan kita perlu meneruskan kerja seperti biasa kerana dalam perjuangan kita, kita buat kerja untuk rakyat dan bukannya untuk jawatan semata-mata,” katanya.

Rabu lalu, Ketua Cabang PKR Paya Besar, Albakri Salim mengeluarkan kenyataan media meminta pimpinan parti menimbang semula lantikan Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan sebagai Pengerusi MPN Pahang kerana mendakwa pemilihan itu dibuat tanpa sokongan daripada Ketua Cabang PKR lain di negeri ini.

Sementara itu, mengulas mengenai kenyataan Ahli Jawatankuasa PKR, Latheefa Koya yang mendakwa pemilihan Pengerusi MPN negeri berpuak-puak, Fuziah berkata, kenyataan itu tidak tepat dan tidak mewakili suara keseluruhan pimpinan parti.

“Itu pendapat peribadi beliau dan saya rasa perkara ini tidak sepatutnya berlaku jika kita hormati keputusan yang sudah dibuat pucuk pimpinan. Terpulanglah kepada pucuk pimpinan untuk menilai dan mengambil apa-apa keputusan,” katanya.

Tiada ulasan: