Universiti wakaf pertama bakal dibina di Malaysia - Fuziah - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Universiti wakaf pertama bakal dibina di Malaysia - Fuziah


KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Malaysia bakal mempunyai universiti wakaf pertama di bawah kelolaan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) Fuziah Salleh.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, dua kolej universiti di bawah MAIWP iaitu Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (PICOMS) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) akan digabungkan menjadi universiti wakaf.

"Sekarang, PICOMS dan KPBKL dibiayai oleh MAIWP sebanyak RM52 juta setahun. Ia adalah jumlah yang tinggi yang dibiayai oleh MAIWP melalui peruntukkan zakat fisabilillah.

"Jadi, adalah menjadi harapan kita untuk menggabungkan dua kolej universiti ini menjadi satu institusi yang berkonsepkan universiti wakaf," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sijil dan diploma di Majlis Konvokesyen Ke-12 KPBKL, di sini, hari ini.

Dalam majlis konvokesyen itu, seramai 1,390 graduan diraikan dalam majlis berkenaan yang berlangsung di Dewan Wawasan Menara PGRM.

Hadir sama, Pengerusi Kolej Profesional Baitulmal Sdn Bhd, Datuk Razali Shahabudin dan Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL, Sakaria Semela.

Menurut Fuziah, MAIWP sudah mengenal pasti lokasi bersesuaian untuk membangunkan universiti berkenaan sebagai usaha memperkasakan konsep wakaf di negara ini.

"Buat masa ini, belum ada lagi (universiti wakaf di Malaysia). Model ini ada di Mesir contoh di Universiti Al-Azhar dan Turki. Jadi, kita ambil ia sebagai model di Malaysia. - Bernama

Tiada ulasan: