PPOKU Pahang sedia bengkel untuk OKU menghasilkan sampul surat - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

PPOKU Pahang sedia bengkel untuk OKU menghasilkan sampul surat


Kuantan: Impian melihat Orang Kurang Upaya (OKU) berdikari seperti individu normal lain membuatkan Persatuan Pemulihan Orang Kurang Upaya (PPOKU) Pahang mengambil inisiatif mewujudkan bengkel sampul surat khusus untuk mereka.

Bengkel yang terletak di pekan Sungai Lembing, di sini, mula beroperasi sejak 1993 bertujuan memberi pekerjaan kepada OKU di seluruh negeri ini, selain menggilap bakat mereka dalam bidang penghasilan sampul surat.

Pengurus bengkel, Suhaili Abu Saari, 42, berkata, idea mewujudkan bengkel sampul surat itu datang daripada bekas pengerusi PPOKU Pahang, Datuk Seri Halim Ibrahim, 25 tahun lalu apabila melihat keperluan untuk mencipta peluang pekerjaan untuk OKU.

Katanya, PPOKU menyedari bukan mudah untuk golongan itu diterima bekerja dalam industri pekerjaan di negara ini disebabkan kekurangan mereka.

“Jadi atas inisiatif berkenaan, kita sediakan latihan kepada mereka iaitu bagaimana cara mencetak dan memotong sampul surat sebelum diedarkan kepada pelanggan. Alhamdulillah, kebanyakan OKU yang kita latih tidak mengambil masa lama untuk sesuaikan diri.

“Walaupun datang daripada pelbagai latar belakang namun mereka tidak menjadikan kekurangan pada diri satu penghalang untuk tekun bekerja dan hidup dalam sistem sosial masyarakat,” katanya, semalam.

Suhaili yang juga Bendahari PPOKU Pahang berkata, bengkel persatuan itu kini mempunyai 10 pekerja berusia 19 hingga 56 tahun.

Katanya, OKU yang bekerja di bengkel itu antaranya mereka yang dikategorikan sebagai cacat anggota badan, pekak, bisu dan mempunyai masalah pembelajaran.

“Mereka dibayar mengikut komisen berapa banyak sampul surat dihasilkan yang mana kebajikan mereka seperti penempatan dan makan minum turut dibiayai PPOKU Pahang,” katanya.

Suhaili berkata, pekerja bengkel kebiasaan memulakan rutin kerja pada jam 9 pagi hingga 5 petang dan membuat kerja lebih masa sekiranya menerima tempahan dalam skala yang besar.

Sementara itu, pekerja bengkel, Zakaria Ibrahim, 56, berasal dari Tanjung Api di sini, berkata, inisiatif diambil PPOKU Pahang sememangnya bagus dalam membantu golongan sepertinya untuk hidup berdikari.

“Saya sudah berkhidmat sejak bengkel ini dibuka, ia beri saya dan rakan lain peluang mencari pendapatan. Mana nak dapat tempat kerja yang sediakan asrama, makan minum dan jaga kebajikan kami seperti ini,” katanya.

Katanya, dia mampu menjana hampir RM500 sebulan sekiranya tekun menyiapkan tempahan sampul surat yang diterima.