Perpustakaan Awam Pahang dirasmikan oleh Tengku Abdullah - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Perpustakaan Awam Pahang dirasmikan oleh Tengku Abdullah


KUANTAN - Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah menamakan Bangunan Perpustakaan Awam Pahang sebagai Perpustakaan Sultan Haji Ahmad Shah. Baginda bertitah agar nama tersebut diberikan sempena memuliakan hari keputeraan Sultan Pahang.

"Saya cadangkan perpustakaan ini dinamakan atas nama Sultan Haji Ahmad Shah untuk mengabadikan keseluruhan khidmat dan keprihatinan baginda soal pembacaan," katanya ketika merasmikan bangunan perpustakaan tersebut di Jalan Kemunting di sini, hari ini.

Hadir sama, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Exco Sains, Teknologi, Teknologi Hijau, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff serta wakil-wakil rakyat seluruh Pahang.

Dalam pada itu, baginda turut melahirkan rasa dukacita apabila mengetahui seramai 405 murid tahun satu dari 83 sekolah rendah di seluruh daerah ini dikesan menghadapi masalah kesukaran membaca walaupun sesi pembelajaran untuk tahun ini hampir berakhir.

Baginda bertitah agar masyarakat cakna dan mengambil serius perkara ini, serta menyeru memanfaatkan perpustakaan sebagai sumber gedung ilmu. Di samping itu, baginda turut menyeru agar semua pihak memperhebatkan program berkaitan tulisan jawi kerana ia adalah warisan bangsa.

"Selain daripada apa yang telah dilaksanakan oleh pihak perpustakaan, kita juga perlu ada inisiatif mengajar, mendidik, memperkemas dan memperluaskan tentang tulisan jawi kerana tulisan jawi adalah warisan bangsa kita.

"Pihak berkaitan perlu mengusahakan soal tulisan jawi ini agar diangkat menjadi dengan lebih baik. Malah tulisan Cina dan India juga perlu dipelajari dan diperluas supaya kita jadikan perpustakaan sebagai pusat sehenti untuk semua jenis pendidikan dan pengetahuan," titahnya.

Baginda turut berpesan kepada rakyat jelata agar mengurangkan makan dan tidur sebaliknya memperbanyakkan membaca bahan-bahan yang berkualiti. "Badan yang sihat Insya-ALLAH rakyat negara kita akan berada dalam landasan yang baik,"titahnya.