Pahang beku lesen perjudian, pusat hiburan keluarga - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Pahang beku lesen perjudian, pusat hiburan keluarga


KUANTAN: Kerajaan Pahang mematuhi syarat kelulusan dan pembekuan lesen baharu kepada semua jenis premis perjudian atau pusat hiburan keluarga.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Abdul Rahim Muda, berkata semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang juga sudah sedia maklum mengenai arahan itu dan bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memantau perkembangan berkaitan isu terbabit.

“Sepanjang tahun lalu, kerajaan negeri melalui PBT berkenaan dengan kerjasama PDRM melakukan 616 serbuan di premis yang terbabit dalam aktiviti perjudian dan daripada jumlah itu, 130 daripadanya dikenakan tindakan... biasanya, tindakan diambil kerana menyalahgunakan lesen pusat hiburan keluarga.

“Selain itu, 385 tangkapan juga dibuat melalui serbuan yang dijalankan, sebanyak 344 mesin slot atau simulator dirampas dan RM44,247 wang tunai turut dirampas daripada premis yang diserbu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Mujibur Rahman Ishak (PAS-Chenor) yang ingin tahu mengenai kesediaan kerajaan negeri mengkaji semula aktiviti perjudian pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14, di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Abdul Rahim berkata, lesen perjudian tertakluk kepada kelulusan kerajaan Pusat, manakala bagi lesen premis perjudian pula diluluskan kerajaan negeri.

“Kita (kerajaan negeri) akan terus bekerjasama dengan PDRM bagi memantau premis perjudian, terutamanya pusat hiburan keluarga bagi memastikan tidak ada menyalahgunakan lesen yang dikeluarkan.

“Risikan dan penguatkuasaan dilaksanakan secara berkala... untuk tahun ini, bermula Januari hingga Jun lalu, sebanyak 81 serbuan dan 398 tangkapan dibuat selain wang tunai berjumlah RM61,465 dirampas,” katanya.

Tiada ulasan: