Laporan penilai operasi Lynas didedah dalam masa terdekat - Fuziah

KUANTAN, 30 Nov (Bernama) -- Laporan dapatan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Material Plants (LAMP) di Gebeng di sini, dijangka didedahkan kepada umum dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Fuziah Salleh berkata beliau dimaklumkan laporan itu telah dikemukakan kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin pada Selasa lalu (27 Nov).
"Saya dimaklumkan menteri (Yeo) akan membuat pengumuman laporan itu semalam, tapi tiada... mungkin dalam tempoh dua atau tiga hari akan datang. Saya tahu ramai khususnya warga Kuantan yang tidak sabar menunggu laporan itu," katanya.
Fuziah yang juga Anggota Parlimen Kuantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 2018 peringkat Pahang di Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang di sini, hari ini.
Turut hadir, Anggota Lembaga Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Normah Mohd Dali dan Pengarah LPPKN Pahang Nor Hafizah Md Nor.
Ditanya sama ada beliau sudah mengetahui isi kandungan laporan itu, Fuziah berkata beliau tidak mengetahuinya kerana tiada akses untuk mendapatkan laporan tersebut lebih awal.
"Tetapi saya yakin jawatankuasa telah memberi input sewajarnya. Saya juga yakin dengan integriti anggota jawatankuasa itu yang pakar dalam bidang mereka dan bergelar saintis.
"Saya berharap jawatankuasa tersebut meletakkan kepentingan penduduk Kuantan melebihi daripada keuntungan yang dijana daripada industri nadir bumi," katanya.
Penubuhan jawatankuasa eksekutif itu diumumkan Yeo pada 15 Okt lalu, melibatkan enam anggota - Felo Utama Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar; Profesor Pelawat United Nations University – International Institute for Global Health Prof Dr Jamal Hisham Hashim; dan Pengarah Unit Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Universiti Teknologi Malaysia Prof Dr Maketab Mohamed.
Tiada ulasan: