Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang perintis Pasukan Sokongan Psikologi - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang perintis Pasukan Sokongan Psikologi


KUANTAN - Bahagian Psikologi dan Kaunseling, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menjadi perintis dan negeri pertama di Malaysia, menubuhkan Psikological Support Team (PST).

Pengarah JKM Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin berkata, PST bertujuan meningkatkan kolaborasi kaunselor dan pegawai psikologi di semua jabatan dan agensi seluruh Pahang untuk membantu mangsa bencana yang memerlukan bantuan dari segi psikologi dan emosi semasa berada di pusat pemindahan.

“Setakat ini Seramai 170 orang ahli PST berdaftar seluruh Pahang terdiri daripada kaunselor dan separa kaunselor daripada pelbagai agensi antaranya polis, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang, Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan Penjara dan Universiti Malaysia Pahang.

“Semua kaunselor dan pegawai psikologi serta separa kaunselor di semua jabatan dan agensi institut pengajian tinggi awam dan swasta di seluruh negeri Pahang adalah dialu-alukan untuk menyertai team PST ini pada masa akan datang dan Pahang adalah negeri pertama di Malaysia yang menubuhkan pasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Pemantapan Psychological Support Team (PST) Peringkat Negeri Pahang di Dewan C, Setiausaha Kerajaan Pahang, di sini, baru-baru ini.

Program yang dirasmikan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail itu turut diisi dengan slot ceramah bertajuk Sukarelawan Profesional yang disampaikan Penolong pengarah Kanan, Bahagian Psikologi dan Kaunseling JKM Putrajaya, Nik Azizo Nik Azemi.

Slot ceramah Pengurusan Intervensi Krisis dan Cabaran Perlaksanaan dan slot Etika Profesional dan Penjagaan Kendiri pula disampaikan oleh Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia, Dr Mohd Zaliridzal Zakaria.