Hantar sisa buangan Lynas ke Australia - Fuziah

KUANTAN: Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas Advance Material Plants (LAMP) akan menyerahkan laporan penuh dan dapatan kajiannya pada 27 November ini.
Pengerusinya, Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar, berkata laporan berkenaan akan diserahkan kepada Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan, Yeo Bee Yin yang bakal membentangkannya kepada Kabinet untuk tindakan susulan.
Katanya, pihaknya akan mengambil kira tiga aspek dalam membuat penilaian kilang memproses nadir bumi berkenaan iaitu pematuhannya terhadap piawaian (standard) kesihatan serta keselamatan, alam sekitar dan pengurusan sisa radioaktif serta bahan berjadual dihasilkannya kepada alam sekitar.
“Kita sentiasa berfikir dan bertindak secara neutral, profesional, telus dan terbuka. “Syabas dan terima kasih di atas pandangan yang diberi selain sikap matang, telus, terbuka, sabar serta bertolak ansur,” katanya pada akhir sesi pendengaran awam Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi LAMP, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Urusan Lynas Corporation Ltd, Amanda Lacaze, berkata pihaknya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan dan kesihatan pekerja di kilang nadir bumi berkenaan.
“Saya sendiri mementingkan keselamatan supaya pekerja kami pulang ke rumah dengan selamat dan tidak membahayakan keluarganya...kalau berlaku apa-apa (tidak kepatuhan peraturan) mereka orang pertama menerima kesan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh yang turut hadir pada sesi berkenaan meminta Kerajaan Pakatan Harapan mengubah syarat lesen diberikan kepada Lynas supaya syarikat itu membawa keluar sisa buangannya kembali ke Australia.
“Mengikut syarat kerajaan dahulu, Lynas boleh mengitar semula bahan itu dan sebab itu mereka buat kajian. “Kita tidak pasti apa kesannya kepada rangkaian makanan (sekiranya menggunakan sisa buangan Lynas sudah dikitar semula), syarat pertama seharusnya ia harus dibawa balik ke Australia,” katanya.
Tiada ulasan: