Geng pecah rumah akan membuat panggilan telefon di hadapan rumah mangsa - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Geng pecah rumah akan membuat panggilan telefon di hadapan rumah mangsa


KUANTAN: Polis memburu geng pecah rumah yang akan membuat "panggilan telefon" di hadapan rumah mangsa mereka selama 15 minit sebelum memecah masuk.

Untuk mengelakkan curiga, mereka tidak pernah menutup muka mereka dan datang dengan MPV mewah Toyota Estima .

Modus operandi tersebut berkesan dan polis percaya geng itu bertanggungjawab terhadap tiga kes pecah masuk di Seri Teruntum, Lorong Alor Akar dan Jalan Tengku Muhammad pada hari Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata dalam insiden terbaru, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di salah satu rumah mangsa menunjukkan pencuri berada di depan rumah untuk memastikan mangsa dan jiran mereka tiada di rumah.

"Salah seorang daripada mereka akan berada di depan rumah selama 10 hingga 15 minit, berpura-pura membuat panggilan telefon sambil mengenalpasti keadaan sekeliling sebelum geng memecah masuk rumah dengan membuka gril dan pintu.

"Ada kemungkinan seorang wanita juga terlibat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini.

ACP Mohamad Noor berkata mangsa mengalami kerugian berjumlah RM150,000 termasuk wang tunai, jam tangan, telefon bimbit, komputer riba dan sebuah SUV Mazda CX-5.

Beliau berkata berdasarkan rakaman CCTV, suspek berusia antara 22 dan 35 tahun dan polis percaya mereka melakukan jenayah seperti ini juga di luar Pahang.

"Siasatan juga mendedahkan bahawa nombor pendaftaran W6097R dari Toyota Estima berwarna gelap telah diklon dari sebuah kereta yang serupa. Ini menunjukkan bahawa geng pencuri ini mempunyai perancangan rapi, "katanya, sambil menambah bahawa polis percaya MPV itu dicuri. - Bernama

Tiada ulasan: