Berita Semasa: Kes pembunuhan pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian Kuantan - Kuantan City Portal

Berita Semasa: Kes pembunuhan pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian Kuantan

Mangsa, Suhairi Wahab (gambar kecil), rumah mangsa dan ahli keluarga mangsa (gambar bawah).

SEORANG suspek yang juga rakan kepada M Suhairi A Wahab ditahan di sekitar daerah Kuantan, 4 petang hari ini bagi membantu siasatan kes pembunuhan pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, suspek lelaki berusia 35 tahun itu yang juga bekerja sendiri ditahan selepas penahanan seorang lagi suspek yang juga rakan serumah mangsa, awal pagi tadi.

Beliau berkata, kedua mereka direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Hasil bedah siasat juga sudah diperolehi dan mendapati mangsa meninggal dunia dipercayai dipukul dengan objek keras," katanya dalam satu kenyataan di Kuantan, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 malam tadi, M Suhairi ditemui di atas tilam di dalam bilik tidur utama di rumahnya di Lorong Pandan Indah 1/3, Perumahan Pandah Indah semalam, selepas berlaku kebakaran di bilik tidurnya itu.

Hasil siasatan polis membawa kepada penahanan dua suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dalam kematian mangsa. Mohd Noor berkata, motif sebenar pembunuhan masih lagi disiasat.

Mangsa kebakaran dibunuh?

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan. Itu nasib menimpa pembantu tadbir Pejabat Tanah dan Galian (PTG) apabila mayatnya ditemui dalam keadaan mengerikan dengan kesan terbakar pada bahagian badan selain beberapa kesan kecederaan di muka dan kepala dipercayai dibunuh.

Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Zakaria Ahmad berkata, mangsa, M Suhairi A Wahab, 35, ditemui di bilik tidur utama di rumahnya di Lorong Pandan Indah 1/3 Perumahan Pandah Indah, Kuantan semalam, selepas berlaku kebakaran di bilik tidurnya itu.

“Kita terima maklumat daripada pihak bomba mengatakan ada kebakaran sebelum anggota kita ke sana dan menemui mayat mangsa.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditemui di atas tilam dengan beberapa kesan kecederaan di kepala dan badan selain kesan terbakar di bahagian badan,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan keterangan pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tas pihaknya berjaya menahan suspek lelaki yang juga rakan serumah mangsa berumur 34 tahun.

Mohd Zakaria berkata, pihaknya masih menunggu hasil bedah siasat yang dilakukan Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, bagi mengetahui punca kematian mangsa yang berasal dari Kampung Panching, dekat sini.

Katanya, permohonan reman ke atas suspek juga sedang diperoleh bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lebih terperinci dan mengetahui motif pembunuhan.

Dalam kejadian 10.30 malam tadi, mangsa disahkan meninggal dunia selepas anggota bomba dan penduduk kawasan perumahan itu selesai memadamkan kebakaran sebelum mayat dibawa ke HTAA.

Mohd Zakaria berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, abang mangsa, Amir A Wahab, 48, berkata, adik bongsunya itu sudah empat tahun menyewa di kawasan perumahan berkenaan dan amat rapat dengan ibu mereka.

“Jika ini kes bunuh saya harap mereka yang terbabit dibawa ke muka pengadilan,” katanya ketika ditemui di Bilik Mayat, HTAA.

Amir berkata, adiknya yang sudah berkhidmat lebih empat tahun di PTG akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panching, di sini, hari ini.

Sumber: HMetro, Sinar