Airport baharu di Pulau Tioman tidak jejas alam sekitar - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

Airport baharu di Pulau Tioman tidak jejas alam sekitar


KUANTAN: Kerajaan negeri Pahang dan kerajaan Persekutuan akan memastikan pembinaan lapangan terbang baru di Pulau Tioman tidak menjejaskan alam sekitar, lebih-lebih lagi pulau peranginan itu dikategorikan sebagai kawasan Taman Laut.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sekurang-kurangnya 7 jabatan kerajaan akan memantau kerja pembinaan projek berkenaan di pulau itu untuk memastikan pembinaannya mengikuti peraturan Aktiviti 12 (b), Jadual Kedua Perintah Kualiti Alam Sekeliling (aktiviti yang ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015.

“Selain itu pemaju juga perlu menyediakan Laporan Penilaian Alam Sekitar (EIA) di bawah Seksyen 34 A Akta Kualiti Alam Sekitar untuk diluluskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar sebelum tindakan lanjut dilakukan,” katanya ketika menggulung perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang di sini, semalam.

Jelasnya 7 agensi kerajaan yang akan terlibat memantau projek itu antaranya ialah Jabatan Alam Sekitar melalui Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk kelulusan kebenaran merancang dan kelulusan pelan kerja tanah, serta Jabatan Taman Laut melalui Akta Perikanan 1985.

Menyentuh masalah penerokaan haram di negeri itu, terutama oleh pekebun berskala besar, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri Pahang sentiasa memandang serius dan memantau perkara itu.

“Sebagai kerajaan yang mengambil berat tentang kebajikan rakyatnya, kerajaan negeri amat bertolak ansur terhadap pekebun kecil yang matlamat mereka sekadar mencari nafkah untuk menanggung kehidupan keluarga masing-masing.

“Untuk makluman, kerajaan Persekutuan telahpun bersetuju meneruskan kembali Op Gading bagi membanteras gejala pencerobohan tanah serta kehadiran pekerja dalam kalangan pendatang tanpa izin.

“Malah, Op Gading kembali dilaksanakan sejak 1 Nov lalu dengan antara lain, penempatan Tentera Darat dan Pasukan Gerakan Am (PGA), selain agensi tempatan lain di tanah tinggi itu,” katanya.

Wan Rosdy berkata, penempatan ini bertujuan untuk meningkatkan pemantauan serta menunjukkan ‘keberadaan’ pasukan-pasukan keselamatan di kawasan itu secara berterusan, termasuk pada hari cuti umum.

Selain itu, katanya Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands juga mendapat kerjasama Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) dalam meningkat dan mengemaskinikan kerja pemantauan ini.

Beliau berkata, di pihak ARSM, satu sistem pemantauan dibangunkan bagi mengesan sebarang bentuk penerokaan tanah, dan sistem ini dapat diakses secara dalam talian oleh pegawai di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.

Tiada ulasan: