5 projek Rancangan Tebatan Banjir di Pahang - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

5 projek Rancangan Tebatan Banjir di Pahang

Banjir teruk di Kuantan pada tahun 2013 diharap tidak berulang.
KUANTAN – Lima projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) serta projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) sedang dan telah dilaksanakan di Pahang sebagai langkah mencegah banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas, Sistem Penyampaian Awam dan Inovasi negeri, Datuk Seri Norol Azali Sulaiman berkata, projek tersebut dilaksanakan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Projek ini antaranya melibatkan fasa dua RTB Bandar Pekan, projek PLSB Sungai Kuantan, PLSB Sungai Semantan di Temerloh fasa 1 yang melibatkan peruntukan RM50 juta dan PLSB Sungai Jelai di Lipis dengan kos RM45 juta.

"Projek PLSB di Temerloh dan Lipis kedua-duanya dalam peringkat reka bentuk," katanya pada persidangan Dun Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.

Norol Azali menjawab soalan Chiong Yoke Kong (DAP-Tanah Rata) yang ingin tahu langkah dan projek pencegahan banjir yang diambil kerajaan negeri di setiap daerah, berserta dengan kos pelaksanaannya.

Menjelaskan lebih lanjut RTB Bandar Pekan, Norol Azali berkata, antara yang siap dilaksanakan ialah pembinaan River Levee (tetambak) Sungai Pahang berjumlah RM120 juta.

RTB Pekan juga melibatkan kerja menaik taraf ban Selantan, Parit Utama, Sungai Air Hitam, pembinaan penyambung Ketapang, struktur kawalan Sungai Mat Dulang dan Sungai Air Tawar serta kerja lain yang berkaitan, dengan kos RM103 juta.

Norol Azali menambah RTB Bandar Pekan juga meliputi Parcel 2, iaitu pembinaan levee Sungai Pahang dan kerja-kerja berkaitan yang berjumlah RM115 juta.

"PLSB Sungai Kuantan pula melibatkan empat pakej iaitu projek menaik taraf Sungai Belat dan membina struktur pencegah banjir yang kini dalam pembinaan manakala pakej dua ialah pembinaan ban pencegah banjir Sungai Pandan dan Sungai Kuantan di Bukit Rangin yang sedang di peringkat reka bentuk.

"Pakej tiga pula melibatkan projek pembinaan ban pencegah banjir di Sungai Kuantan di kawasan Kampung Cenderawasih dan mempertingkatkan ban sedia ada di Kampung Sungai Isap, yang juga dalam peringkat reka bentuk," katanya.

Norol Azali menambah pakej empat pula ialah projek mendalamkan Sungai Kuantan dari muara sungai hingga ke Empangan Kobat di sini. - Bernama