1,000 pemotong rumput kontrak Roadcare Pahang hilang kerja - Kuantan City Portal - Laman Komuniti Warga Kuantan

1,000 pemotong rumput kontrak Roadcare Pahang hilang kerja


TEMERLOH 22 Nov. - Kira-kira 1,000 pemotong rumput Jalan Persekutuan hilang kerja selepas subkontraktor syarikat penyelenggaraan jalan, Roadcare (M) Sdn. Bhd. (Roadcare) di negeri ini ditamatkan kontrak sejak awal bulan ini.

Wakil pekerja, Zolkifli Mat Ali, 63, berkata, mereka adalah pekerja daripada 188 subkontaktor yang majoritinya telah bekerja sejak 18 tahun lalu sebagai punca rezeki keluarga.

Katanya, subkontraktor terlibat telah dimaklumkan oleh pihak atasan tanpa notis munasabah menyebabkan masing-masing tidak keruan kerana kehilangan pendapatan.

"Walaupun pekerja kontrak dengan berpendapatan sekitar RM2,500 sebulan tetapi penamatan kerja tanpa notis tidak selari dengan prinsip keadilan dilaungkan kerajaan.

"Saya sendiri bekerja sebagai pemotong rumput Roadcare sejak 18 tahun lepas dan pendapatan itu digunakan untuk menyara lima anak sehingga ke universiti," katanya ketika ditemui pada perhimpunan aman pemotong rumput Roadcare di Dataran Temerloh di sini hari ini.

Kira-kira 200 pemotong rumput dari seluruh negeri ini berhimpun antara lain merayu Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan menimbang semula untuk meneruskan kontrak penyelengggaran Jalan Persekutuan.

Mereka juga menurunkan tandatangan di atas kain rentang merayu Dr Mahathir campur tangan bagi mengatasi kemelut mereka. - Utusan