Ibu lima anak hidup daif tiada duit beli makanan
Langkau ke kandungan utama

Ibu lima anak hidup daif tiada duit beli makanan

"Ada ketika saya terpaksa mengutip pisang rosak yang dibuang di pasar untuk mengalas perut anak-anak jika tiada wang untuk membeli makanan,” luah ibu kepada lima anak, Noor Merrie Jumil, 33, ketika berkongsi nasib hidupnya baru-baru ini.


Biarpun pahit namun dia terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu anak-anaknya yang berusia setahun hingga 12 tahun kelaparan. “Kadang-kala peniaga buah buang pisang sebab kelihatan sudah tidak elok tetapi saya kutip dan bawa pulang untuk direbus dan diberi kepada anak-anak makan.

“Ada kala juga, saya hanya mampu masak apa yang ada sahaja sementara menunggu gaji dibayar majikan tapi terpaksa juga berjimat-cermat kerana perlu membayar sewa bilik RM350 sebulan,” ceritanya lagi. Dakwanya, nasibnya bersama anak-anak menjadi sedemikian rupa setelah ditinggalkan suaminya yang berusia 35 tahun sejak sembilan bulan lalu.

“Sebelum ini, suami bekerja di Pengerang dan keperluan kami anak-beranak mencukupi serta tidak pernah susah seperti ini tetapi saya tidak tahu apa puncanya suami telah menghilangkan diri dan gagal dihubungi hingga kini. “Jadi, saya terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan berusaha mencari pekerjaan untuk menanggung anak-anak," katanya.

Tiada kad pengenalan

Bagaimanapun, Noor Merrie berkata, dia sukar mencari pekerjaan tetap ekoran statusnya sebagai permastautin tetap di negara ini. Justeru itu, dia terpaksa bekerja sebagai tukang cuci pinggan di sebuah kedai makan berdekatan bilik sewanya di pekan Masai, di sini, dengan gaji mingguan sebanyak RM150.

Noor Merrie berkata, dia dilahirkan di Labuan, Sabah dan kedua-dua ibunya memiliki kad pengenalan. Namun, katanya, mereka tiada sijil nikah ekoran pernikahan secara adat yang dilaksanakan, sekali gus menyukarkannya untuk mendapatkan kad pengenalan sebagai warganegara Malaysia.

Tambahnya, dia kini hanya memiliki kad pengenalan sebagai permastautin tetap tetapi tempoh telah luput tarikhnya sejak empat tahun lalu. “Dalam tempoh perkahwinan saya dengan suami, kami banyak kali merantau ke beberapa negeri dan akhirnya kad permastautin tetap saya sukar untuk diperbaharui,” katanya.

Anak tak sekolah

Jelasnya, tiga anaknya yang berumur tujuh, 10 dan 12 tahun tidak dapat bersekolah kerana dokumen pertukaran sekolah gagal disiapkan sebelum mereka berpindah ke negeri ini tahun lalu. Namun, katanya, kesemua anaknya itu mempunyai MyKid.

“Sebelum ini, kami tinggal di Setiawan, Perak hampir dua tahun dan anak-anak bersekolah seperti biasa tetapi suami mengambil keputusan mahu berpindah ke Masai kerana dapat kerja baharu. “Akhirnya, kami tidak sempat memohon pertukaran sekolah anak-anak," katanya.

Noor Merrie berkata, dia mahu menyempurnakan pertukaran sekolah anak-anaknya tetapi masalah kewangan menyukarkannya berbuat demikian. “Saya kasihan dengan anak sulung yang sepatutnya menduduki Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, anak keempatnya yang berusia tiga tahun dijaga oleh kakaknya di Sabah. “Ikutkan saya khuatir meninggalkan anak-anak yang masih kecil ketika keluar bekerja. “Mujur, tempat kerja berdekatan dengan kediaman dan anak-anak juga memahami keperitan hidup yang kami alaminya,” katanya.

Sehubungan itu, Noor Merrie berharap ada pihak yang sudi membantu menyelesaikan masalah berkaitan kad pengenalannya. “Kalau ada kad pengenalan mungkin saya boleh mohon kerja yang lebih baik dan dapat pendapatan lebih tinggi berbanding sekarang,” katanya.

Sumber: https://goo.gl/DYbrpu

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Bintang Mesir & Liverpool Mohamed Salah dakwah imej Islam melalui bolasepak

Anfield, LIVERPOOL: Mohamed Salah telah meningkatkan reputasinya sebagai salah seorang pemain bola sepak handalan dunia yang diminati bukan sahaja kerana hebat di padang tetapi sifat pemurahnya.

Anak Tak Mampu Bawa Ibu Ke Hospital Mohon Bantuan

Fatimah Taib
Bank Simpanan Nasional: 0213141000045693

Cristiano Ronaldo bertemu Khabib Nurmagomedov, ucap Assalamualaikum

Bintang Real Madrid, Cristiano Ronaldo bertemu dengan bintang UFC Muslim dari Rusia, Khabib Nurmagomedov di Madrid, Sepanyol.